LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Rosli Ilham


Dungun: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Kampung Minda, Jerangau dekat sini, ditemukan lemas pada tengah hari ini.

Mayat Ariff Razali yang juga seorang pekerja di kawasan Industri di Kerteh dan berasal dari Selayang, Selangor itu ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai itu kira-kira 40 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, rakannya, Subree Ahmad Tajuddin, 38, seorang kakitangan syarikat petroleum di Kerteh yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ditemukan lemas pada 9.45 pagi.

Kedua mangsa dikatakan bersama empat lagi rakannya mandi di sungai terbabit.

Ariff dan Subree bersama seorang lagi rakan didakwa mandi di tengah sungai sebelum dihanyutkan arus deras.

Rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala kedua-dua mangsa tenggelam dan kira-kira 15 minit selepas itu, mayat Subree timbul di permukaan air sebelum berjaya ditarik oleh rakannya ke darat.

Berita berkaitan

Lelaki lemas, rakan hilang


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 3:55 PM