Redzuan Muharam

Sungai Buloh: Perkahwinan Noorhasliza Cha dengan Mohd Iskandar Chang Abdullah yang juga mualaf, 16 tahun lalu tidak pernah membuatnya disisihkan keluarga suami hanya kerana berlainan agama.

Sebaliknya, Noorhasliza, 42, diterima balik keluarga mentua termasuk adik-beradik ipar yang melayannya seperti saudara kandung sendiri.

Kemesraan itu dapat dilihat menerusi perkongsian video dimuat naik ibu tiga anak itu di TikTok kelmarin yang menunjukkannya berkumpul dengan keluarga suami menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Noorhaszliza yang menetap di Paya Jaras, di sini berkata, hubungannya dengan mentua dan adik-beradik suami amat baik malah sering berkumpul setiap kali ada kelapangan.

"Alhamdulillah, saya diterima baik bapa mentua dan semua adik-beradik suami.

"Kiranya, kami 'sekepala' namun sudah dua tahun (tahun 2020 dan 2021) tidak berjumpa disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi gunakan kelonggaran diberi kerajaan tahun ini untuk berkumpul.

"Disebabkan ada yang mengikut pasangan masing-masing pulang ke kampung pada hari pertama perayaan maka kami adakan sambutan Tahun Baru Cina lebih awal iaitu malam kelmarin.

"Seronok rasanya kerana dapat makan bersama dan beri ang pow kepada anak saudara," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NOORHASLIZA (bertudung) bersama Mohd Iskandar (gambar kiri, belakang), ahli keluarga mentuanya dan bapa mentua (kanan). FOTO ihsan Noorhasliza Cha
NOORHASLIZA (bertudung) bersama Mohd Iskandar (gambar kiri, belakang), ahli keluarga mentuanya dan bapa mentua (kanan). FOTO ihsan Noorhasliza Cha

Bercerita lanjut, Noorhasliza berkata, dia tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh dengan mualaf berbangsa Cina kerana perkenalan mereka amat singkat sebelum sepakat mendirikan rumah tangga.

"Saya berkenalan dengan suami di pusat servis kereta ketika Ramadan 2006 sebelum mengikat tali pertunangan pada hari raya keenam tahun yang sama.

"Tiga bulan kemudian, kami berkahwin.

"Setakat ini, saya dan suami boleh bertolak ansur dengan satu sama lain walaupun datang daripada latar belakang berbeza serta serasi dengan ahli keluarga kedua pihak.

"Perkahwinan campur ini membuatkan saya berasa bertuah kerana dapat mengenali dan mempelajari budaya kaum lain, salah satunya menerusi perayaan mereka," katanya.

Sementara itu, Mohd Iskandar berkata, walaupun sudah memeluk Islam, dia tetap akan meluangkan masa dengan keluarga setiap kali sambutan Tahun Baru Cina.

"Saya memeluk Islam pada 2004 dan dalam keluarga, saya seorang saja yang mualaf.

"Mulanya keluarga sukar untuk terima keputusan saya namun lama kelamaan mereka faham dan hormat.

"Bagi saya, yang berlainan hanya agama namun kami tetap satu keluarga dan tahun ini lebih meriah kerana dapat berkumpul selepas dua tahun 'beraya' di WhatsApp saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 4:55 PM