IBRAHIM (kiri) melayani cucunya sambil ditemani Fatimah di PPRT Bukit Ara, Terengganu.
IBRAHIM (kiri) melayani cucunya sambil ditemani Fatimah di PPRT Bukit Ara, Terengganu.
Ahmad Rabiul Zulkifli


HULU TERENGGANU: "Saya tidak sanggup berpisah dengan isteri, anak-anak dan cucu jika pulang ke negara asal dan amat berharap diterima sebagai rakyat negara ini secepat mungkin," kata Ibrahim Moro, 62, ketika ditemui di rumahnya Taman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bukit Ara, Ajil di sini, semalam.

Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Pak Brahim seorang warganegara Ghana menetap di Terengganu sejak 1986 dan berkahwin dengan wanita tempatan, Fatimah Salleh, 65, sejak 25 tahun lalu.

Pak Brahim berkata, dia sudah terbiasa menjalani kehidupan di Terengganu, malah fasih bertutur dalam Bahasa Melayu selepas tiga tahun menetap di negara ini.

"Saya mempunyai lima anak termasuk dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Siti Marimar, 30, Siti Asma, 29, selain Anuar Ibrahim, 25, Rafidah Aziz, 24 dan Osman Daud, 23.

"Cucu pula seramai tiga orang berusia 12 bulan hingga enam tahun, justeru bimbang jika terpisah dengan keluarga saya itu berikutan berterusan tidak mempunyai kerakyatan yang sah.

"Sudah tiga kali saya membuat permohonan bagi mendapatkan taraf kerakyatan negara ini maklumlah sudah mempunyai keluarga selain sudah terlalu lama menetap di Terengganu," katanya yang bekerja sebagai buruh binaan di sekitar Kuala Berang.

Tambahnya, terbaru dia membuat permohonan kerakyatan pada 2015 dan sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada pihak bertanggungjawab.

"Saya hanya menerima surat pengesahan penerimaan permohonan daripada pihak terbabit, tetapi tiada sebarang kelulusan diberikan sampai sekarang.

"Sekarang saya hanya menggunakan visa dan permit yang diperbaharui setahun sekali untuk terus kekal menetap di negeri ini.

"Saya tidak dapat menjangka nasib saya pada masa depan selagi tidak memperoleh status kewarganegaraan, paling dibimbangi jika terpisah dengan keluarga nanti," katanya.

Menurutnya, dia hanya sekali pulang ke Ghana untuk menjenguk ibu bapanya yang sakit sepanjang 35 tahun menetap di negeri ini iaitu pada 2014.

"Sekarang ibu dan ayah sudah meninggal dunia, kos untuk pulang ke kampung juga mencecah RM10,000 menyebabkan dia tidak akan pulang lagi ke Ghana untuk selamanya.

"Saya mahu mati di Terengganu dan jika boleh ingin mati sebagai warganegara oleh itu merayu pihak berkaitan pertimbangkan permohonan saya itu," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya tinggal di negeri ini, Ibrahim mengakui, dia pernah tinggal di Thailand dan Singapura sebelum ini, namun Terengganu jauh lebih istimewa berbanding dua negara berkenaan.

"Saya paling tertarik dengan sikap orang Melayu yang peramah dan baik hati terhadap orang luar sepertinya.

"Mereka melayan saya dengan baik seakan-akan saya juga penduduk asal dan saya sudah selesa hidup dalam kalangan masyarakat Melayu di negeri ini.

"Jika ke bandar Kuala Berang, majoriti penduduk di situ pasti mengenali saya. Sekiranya minum di kedai ramai kenalan yang belanja saya minum," katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, dia bahagia bersuami Ibrahim seterusnya mempunyai anak hasil perkahwinannya itu.

"Istimewanya suami saya kerana dia seorang yang rajin bekerja dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

"Cuma apa yang membimbangkan saya sekarang ialah masalah suami yang masih tidak mendapat kerakyatan biarpun sudah lama menetap di negara ini.

"Saya memohon jasa baik pihak bertanggungjawab mempertimbangkan permohonan suami itu untuk kebaikan keluarga kami," katanya.

Fatimah berkata, suami bukan saja sudah lama menetap dan mempunyai keluarga di negeri ini, malah tidak mempunyai rekod jenayah sepanjang menetap di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:40 AM