Suspek dan dan dadah yang dirampas BSJND Mukah.
Suspek dan dan dadah yang dirampas BSJND Mukah.
Erika George

Mukah: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun kerana memiliki tiga jenis dadah dalam serbuan yang dijalankan ke atas bilik pekerja di sebuah kilang di Jalan Mukah-Balingian, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias dalam kenyataannya hari ini berkata, serbuan Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah itu menemui simpanan dadah dalam bilik suspek yang bekerja sebagai juruteknik.

"Penggeledahan yang dijalankan menemui satu beg silang yang di dalamnya mengandungi satu paket kecil lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.40 gram," katanya.

Menurutnya, turut dijumpai dalam beg berkenaan ialah empat paket lutsinar masing-masing berisi lima biji pil palang yang disyaki pil psikotropik berjumlah 20 biji.

Katanya, pemeriksaan lanjut menjumpai dua botol plastik hitam yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis ketamin seberat 26.02 gram.

"Kesemua dadah terbabit dirampas polis bagi dijadikan bahan bukti kes.

"Hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia mengaku terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah sejak awal Januari tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan di lokap Balai Polis Mukah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 4:15 PM