DADAH yang dirampas. FOTO Nor Raidah Awang
DADAH yang dirampas. FOTO Nor Raidah Awang
Nor Raidah Awang


Selama: Seorang lelaki disyaki menagih dan mengedar dadah ditahan polis dalam Ops Sarang Bersepadu di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sungai Jambu, di sini, pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira 10.15 pagi itu, polis turut menemui dadah jenis heroin seberat 110 gram dan syabu seberat tiga gram dipercayai milik lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, suspek berusia 24 tahun itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap suspek, pihak polis menemui satu bekas berwarna biru bertulis ‘mentos’ yang berada dalam genggaman tangan kanan suspek.

“Pemeriksaan terhadap bekas tin itu menemui dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat tiga gram.

"Pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui satu uncang kecil berwarna hitam di dalam poket tepi sebelah kanan seluarnya yang berisi tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 110 gram," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 4:34 PM