Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kes pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM), Tan Sri Azam Baki turut dipantau dan dibincangkan dalam mesyuarat dua panel bebas, iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, di bawah SPRM terdapat lima jawatankuasa dan sejak 2009 lagi, suruhanjaya itu dipantau oleh lima panel bebas.

Katanya, panel bebas berkenaan adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), JKA, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Panel Penilaian Operasi (PPO), dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

"Setiap jawatankuasa ini mempunyai terma dan rujukan masing-masing yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap penunaian fungsi suruhanjaya itu.

"Selain daripada siasatan daripada pihak SC dan PDRM, kes Tan Sri Azam Baki juga dibincangkan dalam mesyuarat LPPR dan JKA yang mempunyai kuasa untuk memantau dan memberi pandangan serta cadangan mengenai siasatan yag dijalankan," katanya katanya pada sesi pertanyaan bagi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Seri Salahuddin Ayob (PH-Pulai) mengenai apakah langkah diambil kerajaan supaya menteri atau penjawat awam boleh dipanggil untuk beri penjelasan berhubung isu rasuah dan salah laku.

Mas Ermieyati berkata, berkenaan laporan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pihaknya sudah mendapat laporan dan siasatan sudah dijalankan berkenaan peraturan dan juga undang-undang pemilikan saham oleh SC terhadap kes berkenaan.

"Siasatan sudah selesai dan SC mendapati tiada kesalahan yang dibuat berkenaan saham yang dilaporkan ke atas beliau pada 2015 dan 2016, berdasarkan semua dokumen semasa siasatan.

"Begitu juga dengan PDRM, difahamkan sedang menjalankan siasatan sebagaimana jawapan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu," katanya.

Menjawab mengenai langkah proaktif kerajaan untuk meningkatkan kewibawaan SPRM dalam menghadapi kes rasuah semakin kritikal, Mas Ermieyati berkata, melalui Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023, pelbagai usaha pemantapan governan, integriti dan juga antirasuah dalam urusan pentadbiran kerajaan dilaksanakan dalam pelbagai platform dan kaedah.

Katanya, ia bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan pentadbiran kerajaan termasuk meningkatkan kewibawaan SPRM.

Justeru, katanya, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menambah baik fungsi perundangan membabitkan bidang kuasa SPRM termasuk beberapa peruntukan baharu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 atau Akta 694.

"Ia termasuk Pelan NACP 2019-2023 juta menerajui 11 inisiatif serta menjadi agensi sokongan bagi 22 inisiatif yang lain dan pelan itu termasuklah inisiatif untuk sama-sama memperkasakan SPRM di dalam memperkukuhkan agensi penguatkuasaan undang-undang.

"NACP 2019-2023 menggariskan inisiatif untuk memperkasakan SPRM termasuk khususnya dalam pelantikan Ketua Pesuruhjayanya, peruntukan kewangan, jawatankuasa pemantau, penubuhan suruhanjaya perkhidmatan dan juga tenaga kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 12:48 PM