Abu Zahar Ujang ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Abu Zahar Ujang ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Jawatankuasa Aduan (JKA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan 31 penambahbaikan tatacara kerja bagi memastikan isu penyelewengan serta salah laku dalam kalangan pegawainya tidak berulang.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, antara syor itu bagi menambah baik amalan berkaitan ketidakpatuhan dalam pengendalian barang kes, kelemahan pengendalian dokumen penting dan pemeriksaan prosedur siasatan serta keperluan logistik.

"JKA bertanggungjawab untuk mengenal pasti kelemahan, tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan, selain memberi cadangan dan syor yang difikirkan patut mengenai tatacara kerja suruhanjaya.

"JKA bertanggungjawab memantau pengendalian oleh suruhanjaya berkaitan aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai suruhanjaya," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurutnya, SPRM juga sudah melaksanakan tindakan paling maksimum dalam memastikan kawalan dalaman terhadap pegawai seperti mewujudkan Pelan Anti Rasuah SPRM (2021-2025).

"SPRM menubuhkan satu cawangan khas iaitu jabatan dalaman sebagai langkah pencegahan untuk mengesan, menyiasat, mengambil tegas terhadap mana-mana pegawai yang disyaki terbabit dengan jenayah.

"SPRM memberi jaminan bahawa tidak akan berdiam diri mengenai isu seumpama ini," katanya.

Abu Zahar berkata, pemantauan juga terhadap banyak perkara lain dilakukan pegawai SPRM termasuk kehidupan mewah mereka, memantau ketulenan pengisytiharan harta pegawai dan melakukan ujian dadah serta ketum.

Katanya, tidak terkecuali memantau pegawai yang mempunyai kes keberhutangan yang serius dan pegawai bermasalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:00 PM