SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia
Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil

KEBERKESANAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mata masyarakat bukan mudah untuk diperoleh, apatah lagi masyarakat sekarang lebih cenderung menilai keberkesanan berdasarkan persepsi bukan realiti.

Masyarakat hanya akan meyakini keberkesanan tindakan SPRM apabila mereka benar-benar percaya dengan kewibawaan serta integriti.

Oleh itu, usaha kerajaan meletakkan SPRM sebagai entiti bebas adalah langkah tepat di mana perubahan yang cukup besar dalam sejarah agensi berkenaan yang ditubuhkan pada 1967 bagi meningkatkan keberkesanannya.

Pada 2009, SPRM yang sebelum itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) diubah daripada sebuah organisasi yang dianggap kurang telus kepada sebuah agensi yang cukup telus.

Kini, tidak keterlaluan jika dikatakan SPRM adalah satu-satunya institusi kerajaan yang mempunyai dan memperlihatkan ketelusan tertinggi dengan adanya lima panel bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Pembentukan mekanisme 'semak dan imbang' ini secara tidak langsung membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan SPRM dalam pelaksanaan fungsinya mengikut undang-undang.

Namun, apa yang kurang memuaskan, selepas lebih sedekad, isu ketidakfahaman serta persepsi negatif masyarakat yang menganggap SPRM masih memilih bulu atau tidak telus dalam penyiasatan masih kedengaran.

Sebenarnya, jika kita teliti satu persatu fungsi semua entiti ini, jelas sekali objektif pembentukannya akan dapat menangkis persepsi negatif terhadap SPRM.

Pertama, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang diwujudkan mengikut Seksyen 13, Akta SPRM 2009 (Akta 694) adalah panel penasihat yang bertanggungjawab menasihati dari segi dasar dan perjalanan SPRM.

Ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong membabitkan kalangan individu yang berintegriti dan sudah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.

LPPR terdiri daripada tujuh individu, memberi pandangan dan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya dari semasa ke semasa, malah mereka bermesyuarat setiap bulan dan SPRM akan membentangkan laporan bulanan kepada mereka.

Mereka juga boleh memberi nasihat kaedah berkaitan kerja SPRM selain meneliti laporan tahunan suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

Panel kedua ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang melihat pencapaian SPRM sepanjang tahun dan membentangkan serta memberi nasihat kepada Perdana Menteri berkaitan prestasi SPRM pada tahun berkenaan.

JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14, Akta SPRM 2009 (Akta 694). Ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti pemerintah dan pembangkang. Peruntukan seksyen itu juga menetapkan tidak ada seorang pun anggota pentadbiran boleh dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas.

Jawatankuasa ini akan mendapatkan maklum balas daripada SPRM untuk mengetahui apa sahaja, sama ada tahap siasatan atau proses yang digunakan berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh SPRM.

Apa yang ditanya selalunya berdasarkan komen masyarakat. Tiada perbuatan melindungi mana-mana pihak. Jika ada kelemahan yang dikesan, mereka akan memberi cadangan untuk diperbaiki.

Panel ketiga ialah Jawatankuasa Aduan (JKA) yang memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM yang tidak bersifat jenayah.

Mereka juga berperanan meneliti jenis kesalahan yang dilakukan oleh pegawai SPRM serta mencadangkan langkah meningkatkan kecekapan dan kebolehan pegawai melaksanakan tugas.

Seterusnya, panel keempat adalah Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang menasihati berkaitan aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat SPRM.

PPPR diwujudkan secara pentadbiran dan dianggotai individu yang dilantik oleh Perdana Menteri mewakili kumpulan masyarakat seperti ahli akademik, dewan perniagaan, pakar media, aktivis sosial dan pertubuhan yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah dipelbagai sektor.

Manakala, panel terakhir pula ialah Panel Penilaian Operasi (PPO) yang memantau kes-kes SPRM termasuk memberi pandangan untuk sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula jika mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan SPRM.

Hakikatnya, selepas mereka berpuas hati barulah kes itu ditutup. Jika mereka berpandangan bahawa kes itu masih boleh dibawa ke mahkamah, maka mereka akan menasihati SPRM dan memohon Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya untuk melihat semula kes itu dan memanjangkan siasatan.

Jika kita melihat kepada kes terkini pada 15 Jun 2021 baru-baru ini, yang mana SPRM mengheret seorang pegawainya ke mahkamah atas kesalahan bersubahat meminta rasuah RM100,000, maka kita boleh merumuskan bahawa fungsi dan peranan panel bebas ini memang benar-benar berkesan.

Tiada ruang untuk menyembunyikan apa jua kesalahan dalam siasatan, termasuk yang dilakukan oleh pegawai SPRM sendiri, malah siasatan dilakukan secara telus dan profesional hasil pemantauan panel bebas berkenaan.

Kesimpulannya, kewujudan semua panel bebas yang bukan daripada pegawai kerajaan ini juga, boleh dikategorikan sebagai wakil kepada rakyat bagi memantau SPRM.

Jika masyarakat faham struktur dan tugas SPRM, pasti keyakinan mereka terhadap keberkesanan tindakan SPRM akan meningkat.  Oleh itu, jangan hanya menjadi pemerhati dan menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan terhadap isu rasuah di media sosial.

Penulis Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 5:59 AM