GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pelancong tidak perlu lagi membuat permohonan menerusi EnterSarawak dan mengisi E-Health Declaration (eHDF) untuk memasuki Sarawak, mulai 1 April ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebaliknya mereka hanya perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang soal selidik berkaitan di dalam aplikasi itu.

Beliau berkata, mulai tarikh itu, sempadan Sarawak akan dibuka semula dengan sembilan keperluan dikemas kini dan maklumat itu akan disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pelancong dari luar negara dibenarkan masuk tanpa perlu memohon daripada 'My Travel Pass', bagaimanapun mereka perlu memuat turun dan mengisi borang 'Pre Departure Form' menerusi 'Traveller Icon' di aplikasi MySejahtera.

"Salinan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 untuk mereka yang datang melalui udara dan darat akan disediakan)," katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pasukannya kini sedang menyediakan keperluan keselamatan di semua lapangan terbang.

Beliau berkata, pihaknya berharap sebaik sahaja sempadan dibuka, kerumitan dan kesesakan yang biasanya berlaku di lapangan terbang dapat dikurangkan ketika itu.

"Kita berharap dapat menyediakan sistem yang mudah ketika membuat saringan kerana apabila pelancong tiba, mereka akan diuji dan kita berusaha mengurangkan masa mereka menunggu.

"JPBN Sarawak kini turut berbincang dengan Brunei dan Indonesia mengenai SOP kemasukan ke negeri ini menerusi jalan darat.

"SOP itu bertujuan membantu membendung penularan Covid-19 apabila membuka sempadan antarabangsa, sekali gus membolehkan pelancongan dan perniagaan dapat disambung semula," katanya.

Sementara itu, mengenai SOP untuk bazar Ramadan dan bazar Gawai, Uggah berkata, ia akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala SOP untuk aktiviti dan program keagamaan akan dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak dan Unit Agama Lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:38 PM