UGGAH Embas meninjau ICQS Tebedu, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
UGGAH Embas meninjau ICQS Tebedu, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Serian: Pihak berkuasa Indonesia belum memutuskan bila sempadan darat negara itu akan dibuka sepenuhnya meskipun Malaysia sudah melaksanakannya sejak 1 April lalu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, walaupun sehingga kini pihaknya belum menerima tarikh tepat daripada kerajaan negara jiran berhubung perkara itu, persediaan rapi tetap dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu bagi menerima kemasukan beramai-ramai dari negara berkenaan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk di ICQS berkenaan selain menjamin kemampuan mengekang penularan Covid-19 dengan memastikan keberkesanan sistem pemeriksaan kesihatan warga asing yang masuk.

"Kami masih menunggu keputusan pihak Indonesia, bila sebenarnya mereka akan membuka sempadan bagi membolehkan pelawat asing memasuki Sarawak menerusi sempadan darat.

"Sejak sempadan Malaysia dibuka, kita hanya menerima kehadiran mereka yang mempunyai permit kerja yang sah dari Indonesia," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di ICQS Tebedu, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sejak sempadan darat Malaysia dibuka 1 April lalu, hanya seramai 463 orang masuk ke Sarawak melalui sempadan darat manakala 1,074 lagi direkodkan keluar.

Daripada jumlah itu, seramai 23 rakyat Malaysia masuk dari Indonesia dalam tempoh 1 hingga 12 April, manakala 21 yang lain keluar dari Sarawak.

Warga Indonesia yang memegang permit kerja yang sah pula seramai 439 orang memasuki Sarawak dalam tempoh sama manakala seramai 1,053 lagi direkodkan keluar dan seorang warga China pula direkodkan masuk melalui ICQS Tebedu.

Menurut Uggah, jika Indonesia sudah membuka sempadannya untuk pemegang pas lawatan sosial, secara purata lebih 400 orang akan masuk ke Sarawak setiap hari.

"Sebab itu kita perlu membuat persediaan rapi sekarang, walaupun pihak Indonesia belum membuka sepenuhnya sempadan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 6:25 PM