GAMBAR Hiasan. FOTO MAHZIR MAT ISA
GAMBAR Hiasan. FOTO MAHZIR MAT ISA
Mohd Roji Kawi


SARAWAK membenarkan taman asuhan kanak-kanak (Taska) beroperasi semula mulai Selasa depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang membenarkan semua taska memulakan operasi semalam.

Uggah berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) taska dijangka akan dikeluarkan esok atau lusa.

Katanya, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah akan mengatur semua yang berkaitan termasuk memberikan taklimat berhubung SOP dengan operator taska seluruh negeri itu.

Semalam, Kerajaan Persekutuan bersetuju baki TASKA dibenar memulakan operasi, serta merta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebelum ini hanya 304 TASKA yang dibenar beroperasi mengikut peraturan dan SOP yang ketat.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, graf kejadian kes COVID-19 di Sarawak kini menunjukkan penurunan yang konsisten.

Berikutan itu, JPBN sedang memperhalusi SOP untuk pembukaan taman rekreasi, kedai gunting rambut, pusat kecergasan (gimnasium) serta kedai gambar.

"Keputusan berhubung pembukaan serta SOP lokasi terbabit akan diumumkan pada masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Sarawak hari ini merekodkan sifar kes baharu positif Covid-19 untuk hari ketujuh berturut-turut menjadikan jangkitan pandemik itu kekal sebanyak 552 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:31 PM