Douglas (dua dari kiri) mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi meninjau persediaan penerimaan pelawat antarabangsa. FOTO IHSAN UKAS
Douglas (dua dari kiri) mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi meninjau persediaan penerimaan pelawat antarabangsa. FOTO IHSAN UKAS
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak masih menunggu keputusan dua negara jiran, Indonesia dan Brunei mengenai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan darat dengan negara terbabit.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini proses perbincangan mengenai SOP itu masih berjalan dan beliau berharap menerima makluman segera bagi membolehkan sempadan negara dibuka.

"Kita mahu kegiatan ekonomi kita pulih semula kerana ia adalah sebahagian daripada fasa peralihan ke endemik, sebab itu kita mahu membuka sempadan darat dengan dua negara itu.

"Kita juga berharap peralihan itu dapat mengembalikan kehidupan normal masyarakat kita," katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini bagi meninjau persediaan penerimaan pelawat antarabangsa, semalam.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, penumpang domestik dari Semenanjung dan Sabah yang tiba di Sarawak, tidak lagi tertakluk kepada SOP mulai 1 April ini.

Katanya, ia selaras dengan pelaksanaan fasa peralihan ke endemik di seluruh negara.

"Namun bagi penerbangan antarabangsa, penumpang masih perlu melakukan (patuh) beberapa perkara termasuk mendaftar dalam MySejahtera.

"Dibahagikan kepada dua kategori iaitu penumpang dari Singapura yang datang ke Sarawak, mereka bukan sahaja perlu mendaftar dalam MySejahtera, tetapi juga melakukan ujian Covid-19 dua hari sebelum ketibaan, namun tidak perlu melakukan ujian Covid-19 sebaik tiba di lapangan terbang di sini," katanya.

Menurutnya, kategori kedua iaitu penumpang antarabangsa yang melakukan transit di Sarawak pula, mereka perlu mendaftar dalam MySejahtera dan perlu melakukan ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari sebelum ketibaan.

"Bagi kumpulan kategori kedua ini, mereka masih perlu melakukan ujian saringan Covid-19 sebaik sahaja tiba di negeri ini.

"Kita dimaklumkan ujian saringan ini menggunakan RTK-Ag yang akan mendapat keputusan segera dan mereka yang negatif akan dibenar meneruskan perjalanan, manakala bagi yang positif, ada lagi SOP tertentu perlu mereka patuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 1:04 PM