Penemuan rangka manusia digelar ‘Penang Women’ yang ditempatkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Penemuan rangka manusia digelar ‘Penang Women’ yang ditempatkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Hasil penemuan artifak dan 42 rangka manusia termasuk 'Penang Woman' yang ditemukan ketika kajian penyelidikan sejak 1863 akan ditempatkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, di sini, yang dijangka siap pada 2025.

Kurator Unit Arkeologi Pulau Pinang Nurul Amira Md Isa berkata, pembinaan galeri yang lebih teratur di atas tanah berkeluasan 1.2 hektar itu kini dalam proses reka bentuk selepas memperoleh peruntukan RM10 juta daripada Kerajaan Pusat tahun lalu melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

"Cadangan pembinaan galeri ini bermula sejak 2013 lagi dan pada April 2017 ketika kerja pembinaan galeri ini berlangsung, secara tidak sengaja rangka manusia digelar 'Penang Women' yang berusia lebih 5,000 tahun ditemukan menyebabkan pembinaannya terpaksa dihentikan bagi memberi laluan kepada kerja ekskavasi.

"Ketika ini, ada galeri sementara yang dibina dengan hanya dilengkapi struktur berbumbung separa tetap dan terbuka melalui peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri.

"Bagaimanapun dengan penemuan artifak dan rangka manusia zaman neolitik termasuk 'Penang Women' menjadikan lokasi ini bukti yang signifikan dan memerlukan galeri yang lebih teratur dibina bagi menempatkan semua penemuan itu," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, kesemua hasil penemuan yang pernah ditemukan di tapak arkeologi itu ketika kajian penyelidikan berlangsung kini berada di Belanda dan Singapura.

"Memandangkan kita tidak mempunyai galeri yang lebih teratur menyebabkan penemuan sebelum ini tidak dapat disimpan di negara ini dan galeri sementara ini juga ruangnya masih terhad.

"Tambahan pula, rangka Penang Women satu-satunya ditemui di bawah timbunan cengkerang oleh pengkaji Malaysia yang kita perlu menjaganya.

"Oleh itu, pembinaan galeri lebih teratur penting supaya kita dapat menempatkan semula penemuan ini termasuk yang terbaharu dalam galeri itu bagi dijadikan pusat rujukan orang awam mengenai sejarah ketamadunan manusia kira-kira 5,000 tahun dahulu," katanya.

Nurul Amira berkata, galeri sementara itu kini dibuka setiap hari kepada orang awam tanpa mengenakan sebarang bayaran masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 2:24 PM