PASUKAN menemukan artifak di tapak arkeologi di Sao Luis. FOTO AFP
PASUKAN menemukan artifak di tapak arkeologi di Sao Luis. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Sekumpulan pekerja menemukan tulang manusia dan serpihan tembikar di tapak pembinaan kompleks pangsapuri baharu di timur laut Brazil, baru-baru ini.

Tidak lama kemudian, penggalian di tapak di bandar pesisir pantai Sao Luis itu menemukan beribu-ribu artifak yang ditinggalkan oleh orang purba yang dianggarkan berusia 9,000 tahun lalu.

Penemuan disifatkan harta karun itu, dikatakan ahli arkeologi, boleh memberi gambaran baharu mengenai sejarah penempatan manusia di Brazil.

Ahli arkeologi, Wellington Lage berkata, dia tidak tahu apa yang dia hadapi apabila syarikat pembinaan Brazil MRV mengupah syarikatnya, W Lage Arqueologia, pada 2019, untuk menjalankan kajian impak di tapak itu.

Kajian impak itu sebahagian daripada prosedur rutin sebagai persediaan untuk membina sebuah bangunan pangsapuri.

Dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan tropika dan bersempadan dengan kawasan bandar Sao Luis, ibu negeri Maranhao, plot seluas enam hektar itu dikenali sebagai Ladang Rosane.

Meneliti tapak itu, Lage mengetahui bahawa ada barang peninggalan ditemukan di kawasan itu sejak 1970-an, termasuk sebahagian daripada tulang rahang manusia pada 1991.

Pasukannya tidak lama kemudian menemukan lebih banyak lagi alat batu, serpihan seramik, cengkerang dan tulang.

Penggalian dalam tempoh empat tahun menemukan 43 rangka manusia dan lebih daripada 100,000 artifak, menurut Institut Warisan Sejarah dan Artistik Kebangsaan Brazil (IPHAN). Ia mengumumkan penemuan itu pada minggu lalu.

Penyelidik kini merancang untuk mengkatalogkan artifak, menganalisisnya secara terperinci, memaparkannya dan menerbitkan penemuan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 12:47 PM