Nor 'Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Sebanyak 41 rangka manusia dipercayai keturunan 'Penang Women' yang ditemukan ketika kajian penyelidikan di Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang sejak 1863 akan dibawa pulang ke negara ini dari Belanda pada Januari depan.

Ketua Arkeologi Pulau Pinang Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, kesemua artifak berkenaan akan ditempatkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Pulau Pinang yang kini dalam pembinaan.

"Selepas itu kajian terperinci akan dilakukan untuk menentukan pentarikhan, punca kematian dan diet rangka ini.

"Sebelum ini rangka berkenaan dibawa Belanda pada 1936 hingga 1960 dan ditempatkan di muzium negara berkenaan.

"Tindakan itu dilakukan kerana Malaysia tidak mempunyai kemudahan galeri khas yang boleh menempatkan rangka ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Arkeologi, Menjejak Rangka Neolitik Berusia 5,000 hingga 6,000 tahun dari Guar Kepah ke Leiden, Belanda, di sini, hari ini.

Ketua Arkeologi Negeri Pinang, GaletibWarisan Arkeologi Guar Kepah, Datuk Dr Mokhtar Saidin pada bicara menjejak rangka neolitik berusia 5,000-6,000 tahun dari Guar Kepah ke Leiden, Belanda di Matic. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Arkeologi Negeri Pinang, GaletibWarisan Arkeologi Guar Kepah, Datuk Dr Mokhtar Saidin pada bicara menjejak rangka neolitik berusia 5,000-6,000 tahun dari Guar Kepah ke Leiden, Belanda di Matic. FOTO ASWADI ALIAS

Mokhtar berkata, rangka itu dianalisis di Universiti Utrecht, Belanda pada 1960 hingga 1967 oleh pengkaji Teuku Jacob.

"Analisis kali kedua yang dijalankan di Muzium Naaturhistoriseh Kebangsaan Leiden, Belanda dilakukan oleh pengkaji Bullbeck.

"Pada 2021, kerajaan Belanda mengeluarkan notis pemulangan semula artifak ke negara asal, dan kemudian bersetuju menyerahkan rangka itu selepas lawatan kerja pihaknya bersama kerajaan negeri Pulau Pinang pada Mac lalu," katanya.

Katanya, rangka berkenaan terdiri daripada tulang, gigi dan tengkorak dipercayai milik individu dewasa, remaja serta dewasa.

'Penang Women' adalah objek warisan berharga negara dan menjadi rangka ke-42 yang ditemukan oleh pengkaji Malaysia pada 19 April 2017.

Wajah 'Penang Women' siap dilakar pada 5 Julai 2022, dihasilkan menerusi kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 2:00 PM