Misi bantuan pasca banjir Majlis Pengarah Politeknik Malaysia (MPPM) di Kampung Kuala Menjing. FOTO IHSAN MPPM
Misi bantuan pasca banjir Majlis Pengarah Politeknik Malaysia (MPPM) di Kampung Kuala Menjing. FOTO IHSAN MPPM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Simpati dengan nasib mangsa banjir menyebabkan ahli Majlis Pengarah Politeknik Malaysia (MPPM) turun padang bagi menyantuni mereka yang terjejas di Kampung Kuala Menjing, di sini.

Pengerusi MPPM Dr Mohd Zahari Ismail berkata, misi bantuan pasca banjir itu diadakan bagi menyelami kesulitan mangsa banjir selain meringankan beban mereka yang berdepan bencana berkenaan pada hujung bulan lalu.

Beliau yang juga Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berkata, program itu mengetengahkan konsep 'kongsi rezeki' diharapkan dapat mengembirakan mangsa apatah lagi menjelang Ramadan ini.

"Ini bukan pertama kali program turun padang seumpama ini diadakan dan program tanggungjawab sosial (CSR) ini juga adalah sumbangan kami kepada komuniti.

"Program yang menghimpunkan pengarah-pengarah politeknik ini adalah hasil inisiatif PSA dengan kerjasama Politeknik Hulu Terengganu, Politeknik Metro Kuantan dan Kolej Komuniti Selayang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Zahari menyatuni mangsa banjir di Kampung Menjing, Kuala Berang. Foto Ihsan MPPM
Dr Mohd Zahari menyatuni mangsa banjir di Kampung Menjing, Kuala Berang. Foto Ihsan MPPM

Pada program itu, seramai 28 pengarah politeknik dan pegawai dari seluruh negara bersama pelajar pelajar sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa Politeknik Malaysia menghulurkan bantuan seperti makanan, keperluan peribadi, kelengkapan rumah, perkakasan dapur serta wang tunai.

Katanya, kesemua bantuan itu adalah sumbangan warga politeknik dan kolej komuniti, alumni PSA serta syarikat korporat.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Menjing, Mohd Hazman Ahmad berkata, misi bantuan pasca banjir MPPM dianggap antara yang terbaik dan berstrategi.

"Pihak politeknik datang berbincang dengan kami (dan) bertanya apa penduduk perlukan dengan memfokuskan golongan tertentu seperti orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

"Jadi bantuan yang dihulurkan itu disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 7:35 PM