Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Simpati dengan nasib menimpa rakyat Palestin, tiga organisasi tampil menghulurkan sumbangan berjumlah RM34,498.66 menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, hari ini.

Penyerahan dibuat Kingz Motorcycle Group, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit di Balai Berita Bangsar di sini.

Naib Presiden Kanan, Bahagian Penjanaan Tempatan Malakoff Mohammed Azmil Ismail berkata, pihaknya tidak mahu ketinggalan dalam usaha membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis.

Untuk itu katanya tabung kutip dalam kalangan kakitangan dilancarkan dan berjaya memperoleh RM12,904 dalam tempoh seminggu untuk disumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (dua dari kanan) bersama wakil penyumbang, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dr. Zahari Ismail (kiri), Naib Presiden Bahagian Penjanaan Tempatan Malakoff Corporation Berhad, Mohammed Azmil Ismail (kanan) dan Pengasas Kumpulan Motorsikal Kingz, Azulhairi Berkhanuddin (dua dari kiri) dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM34,498.66 untuk Tabung Kemanusian Palestin Media Prima di Balai Berita NSTP Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Di Malakoff, kami amat menyokong usaha murni yang dilakukan ini," katanya ketika ditemui.

Pengarah PSA Dr Zahari Ismail pula berkata, institusi itu menyumbang RM17,087 yang dikutip hasil sumbangan kakitangan PSA atas dasar tanggungjawab sebagai ummah dalam membantu saudara seagama.

"Mudah-mudahan ia dapat membantu masyarakat muslim kita di sana dan kita mendoakan agar program bantuan begini diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Kingz Motorcycle Group, Alzuhairi Berkhanuddin berkata, pihaknya mengutip dana RM4,507.66 dalam kalangan 200 ahli kelab motosikal berkuasa tinggi selepas terkesan dengan derita penduduk Palestin khususnya di Gaza yang diancam serangan Israel.

"Kita nak tunjukkan kepada masyarakat bahawa kumpulan motosikal di Malaysia prihatin dan akan bantu apa yang kita boleh. Jadi kita putuskan untuk bekerjasama dengan Media Prima bagi memastikan bantuan itu sampai," katanya.

Media Prima mengaktifkan tabung berkenaan susulan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan tentera Israel sejak penghujung Ramadan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 12:40 PM