KANAK-KANAK ditenangkan bapanya ketika menerima suntikan vaksin di Pusat PPV IDCC di Shah Alam yang beroperasi pada hari terakhir 15 Mac lalu. FOTO OWEE AH CHUN.
KANAK-KANAK ditenangkan bapanya ketika menerima suntikan vaksin di Pusat PPV IDCC di Shah Alam yang beroperasi pada hari terakhir 15 Mac lalu. FOTO OWEE AH CHUN.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang ditutup pada Selasa lalu selepas beroperasi sejak 27 Januari lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, penutupan itu membabitkan PPV World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, PPV Axiata Bukit Jalil, PPV Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam serta PPV Sokha Gakai di Klang.

"Selain itu, pada 9 Mac lalu pihak ProtectHealth turut memaklumkan mengenai penutupan PPV offsite secara berperingkat mulai Mac 2022 apabila kadar pemberian dos penggalak bagi penduduk dewasa mencapai 64 peratus.

"Untuk makluman, sehingga semalam, 66.2 peratus penduduk dewasa di negara ini sudah menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, bagi individu yang mahu mendapatkan vaksin sama ada vaksinasi lengkap, dos penggalak atau vaksinasi kepada kanak-kanak, terdapat beberapa kaedah boleh dilakukan antaranya membuat tempahan slot di PPV terpilih.

Katanya, tempahan boleh dibuat melalui pautan akan dihantar bersama janji temu ke aplikasi MySejahtera, selain itu mereka boleh mendapatkan imunisasi itu di PPV perubatan swasta menawarkan perkhidmatan berkenaan seperti disenaraikan di laman web ProtectHealth iaitu https://vaksincovid.protecthealth.com.my.

Individu berkenaan disarankan untuk membuat semakan senarai PPV offsite yang masih beroperasi dan boleh mendapatkan vaksinasi berkenaan secara 'walk-in'.

"Varian Omicron tetap serius dan boleh menyebabkan komplikasi teruk terutama kepada mereka yang belum menerima vaksinasi lengkap atau langsung tidak divaksinasi serta golongan berisiko tinggi iaitu warga emas dan individu dengan komorbid dan belum menerima dos penggalak.

"Ibu bapa dinasihatkan untuk merebut peluang untuk mendapatkan vaksin kepada anak masing-masing bagi melindungi mereka daripada jangkitan varian Omicron yang lebih teruk sehingga boleh menyebabkan kematian dan komplikasinya (MICS).

"Pemberian vaksin ini bagi memastikan fasa peralihan ke endemik yang akan bermula pada 1 April ini dapat dilaksanakan dengan selamat dan fokus paling utama adalah untuk memupuk kesedaran dan solidariti komuniti, memperkasa tanggungjawab individu terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meluaskan capaian program vaksinasi sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 6:41 PM