GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Protect Health Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menawarkan perkhidmatan vaksinasi terus ke rumah melalui program Home Vaccination bagi memudahkan warga emas mendapatkan suntikan penggalak mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizi berkata, pihaknya menyedari situasi dialami rakyat terutama warga emas dan memahami kebanyakan mereka mungkin tidak dapat hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan masalah logistik.

Katanya, Home Vaccination adalah inisiatif kerajaan untuk memperluas dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapat dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac ini selain bertujuan melindungi warga emas berikutan mereka golongan berisiko.

"Di bulan Ramadan kebanyakan warga emas dijangka berhimpun di masjid untuk menunaikan solat tarawih dan menghadiri majlis sama ada di dalam atau di luar rumah.

"Dengan situasi ini yang dijangka akan berlaku dalam tempoh yang berpanjangan dan biasanya mereka berada dalam jarak yang dekat, berkemungkinan penularan virus Covid-19 lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menasihatkan semua warga emas supaya mendapatkan dos penggalak mereka dengan segera bagi memastikan peralihan kepada fasa endemik bermula 1 April ini dapat dilaksanakan dengan selamat dan sebelum status sijil vaksinasi mereka dalam aplikasi MySejahtera bertukar menjadi tidak lengkap atau bertukar warna putih.

"Dengan program Home Vaccination, kami ingin memberikan kemudahan dan pengalaman yang lancar dan selesa untuk warga emas yang tidak dapat hadir ke PPV.

"Walaupun gelombang Omicron dilihat tidak agresif seperti varian Delta, tetapi bagi warga emas khususnya yang mempunyai komorbiditi, ia bukanlah penyakit ringan kerana boleh membawa maut.

"Oleh itu, kami menyeru orang ramai untuk memastikan ibu bapa anda dilindungi daripada virus Covid-19. Tolong lindungi orang yang anda sayangi dan dengan melakukan ini, kita dapat melindungi semua orang dan seluruh masyarakat kita," katanya.

Katanya, sehingga 24 Mac lalu, sebanyak 15.5 juta dos penggalak diberikan dan 12 juta dos atau 77.4 peratus disumbangkan Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth.

Mereka yang berminat menggunakan perkhidmatan ini boleh membuat pendaftaran menerusi talian hotline 1700-811-007 bermula 9 pagi hingga 5 petang atau menghantar teks melalui WhatsApp di talian 012-6787911, daftar melalui https://vaksincovid protecthealth.com.my/register vaccines atau membuat pilihan temu janji penggalak dalam Helpdesk MySejahtera.

Sebelum ini, inisiatif berkenaan dilaksanakan beberapa NGO untuk membantu individu yang uzur, terlantar sakit serta golongan kurang upaya (OKU) yang tidak dapat hadir ke PPV.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 6:54 PM