GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penerima dos lengkap vaksin Sinovac boleh mendapatkan suntikan dos penggalak jenis vaksin sama di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite seluruh negara mulai Isnin ini.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dalam satu kenyataan mengumumkan, insiatif itu boleh didapati secara walk in (jumpa terus) di PPV Offsite berkaitan secara percuma.

"Vaksin Sinovac untuk dos penggalak akan tersedia di semua PPV Offsite di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara percuma, mulai 14 Februari iaitu Isnin ini.

"Mereka yang layak untuk dos penggalak dan ingin mendapatkan vaksin jenis Sinovac boleh menyemak senarai PPV di laman web www.protecthealth.com.my.

"Bagaimanapun, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) masih mengesyorkan dos penggalak jenis Pfizer untuk penerima Sinovac kerana ia menawarkan tahap perlindungan yang lebih tinggi," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan boleh menghubungitalian 03-86872525 atau e-mel [email protected].

Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan, KKM membenarkan penerima dos pertama dan kedua Sinovac mendapatkan vaksin jenis sama sebagai dos penggalak mereka.

Ia selepas seramai 3.5 juta penerima vaksin Sinovac dikenal pasti belum mengambil suntikan dos penggalak pelalian Covid-19.

Untuk rekod, semua individu berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac ini dan jika tidak, status mereka dianggap tidak lengkap vaksinasi dan maklumat itu akan tertera dalam aplikasi MySejahtera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 2:31 PM