Ekhwan Haque Fazlul Haque

Putrajaya: Sela masa bagi penerima vaksin Pfizer dan Astra Zeneca (AZ) untuk dos penggalak disingkatkan kepada tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sela masa bagi penerima vaksin Sinovac pula kekal tiga bulan.

Menurutnya, bukti kukuh yang terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan bahawa vaksin penggalak Covid-19 berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.

Katanya, hasil kajian awal membabitkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan.

"Badan Regulatori seperti di UK, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin primer," katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Katanya, kumpulan kerja teknikal juga sudah menilai bukti sedia ada dan memberikan saranan baharu mengenai pemberian dos penggalak Covid-19 kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan semua individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

"Individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas.

"Saranan Kumpulan Kerja Teknikal akan disemak dari masa ke semasa berdasarkan data serta maklumat terkini," katanya.

Khairy berkata, keberkesanan dos penggalak juga terbukti di Sarawak sebagai negeri perintis apabila menunjukkan trend penurunan kes positif sejak dua bulan lalu.

Katanya, sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-48, jumlah kes yang dilaporkan adalah kurang dari 1,000 kes seminggu iaitu 776 kes berbanding bilangan kes pada ME ke-52 iaitu sejumlah 208 kes.

"Selain itu, angka kematian yang disebabkan Covid-19 juga menunjukkan penurunan daripada 497 kes pada Oktober kepada 24 kes sehingga 28 Disember," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 5:16 PM