GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga emas di negara ini mencatatkan hampir 10 peratus daripada sebanyak 3,711,199 kes positif yang direkodkan dari 19 Mac 2020 hingga 9 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 367,522 kes atau 9.9 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan kumpulan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 19,250 (57.4 peratus) kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan adalah dalam kalangan warga emas.

"Berbanding dengan kumpulan usia yang lebih muda iaitu kurang 60 tahun, jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, warga emas adalah golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 dengan komplikasi teruk akibat jangkitan itu.

Beliau berkata, ia berikutan daya tahan tubuh yang rendah, penyakit kronik dihidapi oleh warga emas, dan proses penyembuhan serta pemulihan daripada jangkitan Covid-19 juga lebih perlahan dan rumit.

Pada masa sama, Dr Noor. Hisham berkata, warga emas yang berada di pusat jagaan terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 yang berkemungkinan menjadi tidak terkawal jika penghuni dan penjaga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, mereka yang berada di pusat jagaan lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan kematian akibat Covid-19 berbanding warga emas dalam komuniti.

"Penularan jangkitan Covid-19 dalam pusat jagaan warga emas lebih mudah dan cepat kerana jumlah penghuni yang ramai mengakibatkan kesukaran amalan penjarakan fizikal," katanya.

Tambahnya, data antarabangsa pada 2020 melaporkan sebanyak 47 peratus kematian adalah dalam kalangan warga emas yang tinggal di institusi berkediaman.

Katanya, KKM merekodkan sebanyak 154 (39.6 peratus) kluster Covid-19 di pusat jagaan warga emas antara 25 Januari 2020 sehingga 3 Mac lalu.

"Kluster itu adalah penyumbang tertinggi berbanding kluster-kluster kumpulan berisiko lain seperti kluster di pusat jagaan kanak-kanak dan pusat dialisis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 12:22 PM