DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga emas mencatat hampir 10 peratus daripada 3,711,199 kes positif yang direkodkan dari 19 Mac 2020 hingga 9 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 367,522 kes atau 9.9 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan kumpulan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 19,250 (57.4 peratus) kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan adalah dalam kalangan warga emas.

"Berbanding kumpulan usia yang lebih muda iaitu kurang 60 tahun, jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi.

"Warga emas adalah golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 dengan komplikasi teruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ia berikutan daya tahan tubuh yang rendah, penyakit kronik dihidapi warga emas dan proses penyembuhan serta pemulihan daripada jangkitan Covid-19 lebih perlahan dan rumit.

"Kadar kematian warga emas juga lebih tinggi berbanding golongan lain.

"Warga emas yang berada di pusat jagaan juga terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 yang mana jangkitan mungkin menjadi tidak terkawal jika penghuni dan penjaga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya,

Katanya, bermula 25 Januari 2020 sehingga 3 Mac 2022, sebanyak 154 (39.6 peratus) kluster Covid-19 di pusat jagaan warga emas dilaporkan.

"Kluster ini adalah penyumbang tertinggi berbanding kluster kumpulan berisiko yang lain seperti kluster di pusat jagaan kanak-kanak, pusat dialisis, dan sebagainya.

"Oleh itu KKM ingin menyeru semua warga emas yang berkelayakan namun belum menerima vaksin sama ada dos primer atau dos penggalak untuk segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara walk-in," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 11:35 AM