Saipul Adli Mohamad dan Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JANGKITAN Covid-19 di pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor dipercayai dibawa oleh orang luar.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya percaya jangkitan berkenaan mungkin dibawa penjaga atau pelawat di rumah jagaan terbabit.

"Bagaimanapun siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca jangkitan kini sedang dijalankan.

"Apa yang kita lakukan kini adalah memperketatkan kawalan di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini sebanyak 69.1 peratus daripada jumlah kematian Covid-19 di negara ini adalah dalam kalangan golongan warga emas.

"Tambahan pula baru-baru ini dilaporkan satu lagi kes kematian Covid-19 membabitkan warga emas iaitu dalam Kluster Rumah Warga Emas Kluang.

"Setakat ini, kluster berkenaan melaporkan sejumlah 11 warga emas yang dikesan positif Covid-19. KKM amat bimbang bahawa orang ramai mulai tidak memberi perhatian kepada kepentingan melindungi warga emas daripada jangkitan Covid-19," katanya.


Beliau berkata, orang ramai sewajarnya mengamalkan langkah pencegahan jangkitan terutamanya memakai pelitup muka, amalan kebersihan tangan yang tinggi dan penjarakan sosial yang selamat apabila berada dalam kalangan golongan itu.

"Bagi ahli keluarga atau penjaga yang duduk serumah bersama warga emas adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan golongan itu sentiasa terjaga dan dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

"Begitu juga setiap individu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab terhadap keluarga, komuniti dan negara demi menjaga keselamatan dan kesihatan golongan warga emas," katanya.

Berita berkaitan

Tidak pasti punca wabak merebak

Pusat jagaan warga emas dikawal 24 jam

Covid-19: Satu lagi kluster baharu dikesan hari ini

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:16 PM