DR Mohammad Shatar. FOTO ihsan MQA
DR Mohammad Shatar. FOTO ihsan MQA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persepsi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bidang pengajian kelas kedua adalah pandangan lapuk, sebaliknya orang ramai perlu melihatnya sebagai antara laluan utama kerjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, hal itu terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan TVET pada 2020 iaitu 87 peratus, lebih tinggi berbanding kebolehpasaran graduan di peringkat nasional (84.4 peratus).

Bagaimanapun, katanya, stigma bahawa TVET hanya untuk individu yang kurang cemerlang dalam akademik masih menebal dalam kalangan masyarakat berbanding program akademik lain di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

"Persepsi ini perlu diubah dan di MQA kami giat menjalankan kerjasama dengan badan akreditasi luar negara terutama yang mempunyai pendidikan TVET berkualiti tinggi.

"Selaku badan akreditasi pengajian tinggi negara, MQA sentiasa berusaha untuk memastikan dan meningkatkan kualiti TVET di negara ini supaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan institusi TVET terkemuka dunia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohammad Shatar berkata, kualiti pengajian tinggi di negara ini sentiasa diberi penekanan dan berada pada tahap terbaik tanpa mengira jenis institusi.

Katanya, MQA tidak akan sekali-kali berkompromi dalam aspek kualiti terhadap semua IPT termasuklah institusi TVET di rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), politeknik, kolej komuniti mahu pun institusi lain.

"Diharap Malaysia mampu meningkatkan imej TVET setanding dengan negara maju selepas komitmen yang ditunjukkan kerajaan memperuntukkan RM6.6 bilion, iaitu antara peruntukan terbesar pernah diberikan bagi memperkasa bidang TVET dalam Belanjawan 2022.

"Usaha ini akan membantu menjayakan hasrat KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global seterusnya menarik minat pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di IPT tempatan sama ada dalam bidang TVET atau lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 11:02 AM