GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Universiti Awam (UA) disaran untuk memanfaatkan fleksibiliti diberikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkaitan lebihan jam kredit dengan menawarkan program yang mampu melengkapkan pelajar menghadapi dunia pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pembangunan program standard MQA mengambil kira fleksibiliti dalam penawaran program yang mana jam kredit ditetapkan untuk kursus teras atau wajib di IPT diminimumkan.

Hal itu, katanya, bagi memberi peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mereka bentuk program yang dirasakan relevan seterusnya mempersiapkan pelajar untuk lebih berdaya saing selepas tamat pengajian.

"Contohnya, program sarjana muda mempunyai lebihan 20 hingga 30 jam kredit yang boleh digunakan untuk penawaran kursus yang relevan mengikut acuan IPT.

"Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kini sedang giat menawarkan program sedemikian berdasarkan permohonan yang dibuat kepada pihaknya, justeru UA juga perlu merebut peluang ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kini kelayakan akademik menjadi sebahagian daripada asas utama yang perlu dimiliki graduan, namun untuk menentukan jaminan kerjaya, pelajar perlu dipersiapkan dengan nilai tambah dalam diri masing-masing.

Mohammad Shatar berkata, pihaknya sering mengingatkan bahawa graduan kini tidak boleh bergantung pada kelayakan akademik semata-mata untuk bersaing dalam pasaran kerja.

"MQA selalu menitikberatkan mengenai kemahiran insaniah, misalnya menerusi penguasaan pelbagai bahasa, kepemimpinan, kemahiran berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah.

"Semua elemen itu ialah perkara yang perlu diberi penekanan oleh IPT di negara ini supaya mereka mampu mempersiapkan pelajar lebih bersedia selepas tamat pengajian," katanya.

Sementara itu, kunjungan delegasi MQA turun padang ke IPT mencerminkan tahap keseriusan badan akreditasi itu mengenai jaminan kualiti pengajian tinggi di negara ini.

Pelbagai inisiatif baharu disarankan MQA terutama ketika situasi pandemik Covid-19.

"Semua usaha itu dilakukan bagi IPT meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) misalnya penawaran micro-credential dan pelaksanaan PdP menerusi mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL).

"Sesi turun padang juga memberi peluang kepada IPT untuk bertanya dengan lebih dekat lagi kepada MQA mengenai akreditasi program, inisiatif serta dasar atau pengumuman baharu oleh MQA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 9:30 PM