Mohammad Shatar Sabran.
Mohammad Shatar Sabran.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bakal menjelajah institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan 20 universiti awam (UA) dan lebih 400 IPT swasta di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, siri jelajah itu sejajar dengan agenda Era Baharu MQA bagi mewujudkan ekosistem jaminan kualiti pengajian tinggi terbaik.

"Program jelajah ini akan memberi peluang kepada warga IPT untuk mengetahui fungsi MQA dengan lebih jelas, produk ditawarkan serta peluang yang boleh direbut oleh IPT serta masyarakat setempat.

"Semua pertanyaan boleh dilakukan menerusi sesi soal jawab atau ramah mesra bersama MQA terutama perbincangan mengenai akreditasi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Mohammad Shatar hadir pada sesi lawatan pertama siri jelajah pertama MQA di Management and Science University (MSU), Shah Alam, semalam.

Turut hadir, Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan

Naib Canselor MSU Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Mohammad Shatar berkata, pihaknya juga giat berusaha untuk menguruskan akreditasi program IPT tempatan di cawangan luar negara menerusi jaringan agensi akreditasi antarabangsa.

"Inisiatif terbaharu ini bagi memudahkan IPT tempatan menghantar pelajar ke luar negara.

"Menerusi kerjasama global ini juga, graduan boleh bekerja di mana-mana sahaja kerana kualiti pendidikan mereka dijamin MQA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 5:39 PM