KEADAAN kemalangan membabitkan dua motosikal yang bertembung. FOTO Tular.
KEADAAN kemalangan membabitkan dua motosikal yang bertembung. FOTO Tular.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Lelaki maut manakala dua lagi parah apabila dua motosikal bertembung di Jalan Kampung Sungkup, Bukit Selambau dekat sini hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, penunggang Yamaha 135LC Mohd Nasir Ghazali, 35, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala manakala pembonceng berusia 32 tahun cedera kaki kiri serta badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Seorang lagi mangsa iaitu penunggang Honda EX5 yang juga warga Myanmar berusia 30-an serta belum diketahui identiti parah di kepala dan turut mendapatkan rawatan di HSAH.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, siasatan mendapati ketika kejadian motosikal dinaiki dua lelaki tempatan itu dari Jalan Bukit Selambau menghala ke Kampung Sungkup manakala penunggang motosikal warga Myanmar pula dari arah bertentangan.

"Setibanya di lokasi kejadian, kedua-dua motosikal terbabit bertembung sebelum semua mereka terjatuh di atas jalan menyebabkan penunggang Yamaha 135LC meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng cedera.

"Penunggang Honda EX5 warga Myanmar juga turut dikejarkan ke hospital kerana parah di kepala," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang yang meninggal dunia itu memakai topi keledar manakala pembonceng pula tidak memakai topi keledar.

"Hasil siasatan mendapati lokasi kemalangan itu adalah jalan mini tar kawasan kampung dan tidak mempunyai garisan tengah bertanda.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 7:40 PM