GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan bertambah kepada 7,996 orang daripada 2,585 keluarga pada 3 petang ini, berbanding 7,579 mangsa sebelum ini.

Ini berikutan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Tumpat dibuka sejak pagi tadi bagi menempatkan 113 mangsa iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tumpat (26 orang), SK Pengkalan Kubor 2 (61 orang) dan SK Bunohan (26 mangsa).

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa itu ditempatkan di 31 PPS di lima daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Dua PPS di Machang ditutup sepenuhnya selepas 95 mangsa dibenarkan pulang susulan banjir di kediaman penduduk pulih.

Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas paling ramai dan bertambah kepada 7,637 orang berada di 23 PPS berbanding 6,458 orang pada pagi tadi.

Mangsa banjir di Tanah Merah pula seramai 172 orang, diikuti Tumpat mencatatkan 113 mangsa, Pasir Puteh merekodkan 43 mangsa dan Kuala Krai seramai 31 orang.

Sementara itu, menurut portal eBanjir Kelantan, dua sungai utama yang masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 10.55 meter (m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (3.76 m).

Dua sungai melebihi paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (22.88 m) dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (15.81 m).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 4:06 PM