UJIAN RTK.
UJIAN RTK.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menggugurkan keperluan menjalani ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) secara kendiri mahupun profesional membabitkan pengembara Kategori 1 sehingga 3.

Turut digugurkan adalah keperluan pegawai pengiring (LO) bagi pelawat perniagaan jangka pendek di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Perkara itu diumum menerusi kemas kini prosedur KKM yang akan berkuat kuasa 3 Mac ini, bersandarkan semakan dari semasa ke semasa berkaitan prosedur pengurusan pengembara yang tiba dari luar negara.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ujian pengesanan Covid-19 yang perlu dijalankan dua hari sebelum berlepas dan ketibaan di negara ini masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

Berdasarkan penilaian risiko situasi Covid-19 yang dilaksanakan oleh KKM secara berterusan, beliau berkata, kementerian memutuskan untuk menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan bagi pengembara dari Kategori 1 hingga 3.

"Menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ke-3 dan ke-5 selepas ketibaan bagi pengembara dari Kategori 1 hingga 3.

"Menggugurkan keperluan menjalani ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) atau RTK-Ag (profesional) bagi pengembara di bawah LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi.

"Menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada setiap hari sepanjang tempoh kuarantin wajib bagi pengembara umum yang tiba dari United Kingdom.

"Menggugurkan keperluan Pegawai Pengiring atau Liaison Officer (LO) bagi pelawat perniagaan jangka pendek di bawah Mida yang menggunakan kemudahan One-Stop Centre (OSC) untuk memasuki Malaysia. Namun, mereka masih perlu mengikuti jadual program terkawal yang telah dikemukakan dan diluluskan oleh Jawatankuasa OSC," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Khairy, prosedur baharu ini hanya terpakai bagi pengembara yang memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan OSC untuk pelawat perniagaan jangka pendek.

Selain daripada keperluan untuk menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dua hari sebelum berlepas dan sewaktu ketibaan di Malaysia, beliau berkata, pengembara kategori yang dinyatakan adalah tertakluk kepada beberapa keperluan

Antara keperluan berkenaan katanya, adalah menjalani ujian RTK-Ag kendiri pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan, di mana pengembara terlibat bertanggungjawab untuk melaporkan keputusan ujiannya melalui aplikasi MySejahtera.

"Menjalani ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

"Ketetapan yang hampir serupa turut dikenakan ke atas pengembara umum yang tiba dari United Kingdom (UK) iaitu mereka perlu menjalani ujian RTK-Ag atau RTK-Ag kendiri pada setiap hari sepanjang tempoh kuarantin wajib dan perlu melaporkan keputusan ujiannya melalui aplikasi MySejahtera," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 9:33 PM