Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Susulan jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, tukang jahit mula tidak menang tangan bahkan ada yang terpaksa menolak tempahan baju raya lebih awal.

Bagi tukang jahit di Permatang Rambai di sini, Zirah Idris, 28, dia kini mula sibuk menyiapkan baju raya yang ditempah pelanggan hingga terpaksa menutup pesanan kerana sudah tidak mampu menerimanya.

Zirah berkata, dia sudah tidak menang tangan menerima tempahan menjahit sejak awal tahun ini selepas dua tahun suram berikutan ramai yang tidak mahu membuat baju raya memandangkan PKP.

"Memang dua tahun lalu satu tempoh agak sukar bagi tukang jahit kerana tempahan menjahit amat kurang.

"Kebiasaannya, setiap kali musim perayaan saya akan terima tempahan lebih 100 pasang baju raya dengan pendapatan boleh diraih sekitar RM7,000 hingga RM8,000 namun kerana Covid-19 semuanya berubah.

"Tetapi tetap bersyukur kerana masih cukup membayar kos sewa kedai melalui alternatif saya melakukan perniagaan dalam talian," katanya

Jelasnya, dia yang mempunyai pengalaman dalam bidang jahitan lebih 10 tahun kini menerima tempahan menjahit sehingga 80 pasang pakaian raya dan akan menutup mengambil tempahan pada hujung bulan ini.

ZIRAH menyiapkan tempahan menjahit baju raya yang ditempah pelanggannya. FOTO Nur Izzati Mohamad
ZIRAH menyiapkan tempahan menjahit baju raya yang ditempah pelanggannya. FOTO Nur Izzati Mohamad

Demikian juga Rozlina Abd Latif, 45, yang turut menerima tempahan baju raya hampir 80 pasang namun sudah menutup tempahan sebagai langkah berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan akibat kes Covid-19 yang semakin meningkat.

"Walaupun kerajaan memberi jaminan tetapi pengalaman yang lalu dijadikan pengajaran kerana sudah pastinya pelanggan juga masih was-was.

"Bimbang jika banyak tempahan dibuka nanti ramai yang tidak mahu mengambil baju mereka dan saya juga jadi was-was untuk menjahit, maka saya hanya ambil setakat cukup bayar gaji pekerja, sewa kedai dan kos utiliti lain," katanya yang turut memberitahu bahawa sebelum Covid-19 dia menerima tempahan lebih 100 pasang.

Menurutnya, sudah lebih 20 tahun dia menjahit dan mengakui kesan pandemik Covid-19 tersangat mencabar terutama ketika Aidilfitiri disambut dalam PKP dua tahun lalu.

"Namun, bila ada peluang saya tetap kena berhati-hati dengan melihat keadaan semasa yang bila-bila masa boleh berubah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 2:36 PM