Tukang jahit kerdil, Nurul Izzah Mohd Asri, 26, berketinggian 120 sentimeter (cm) terpaksa mengambil ukuran pelanggan dengan bantuan kerusi ketika menerima tempahan menjahit baju raya di Kampung Petani Merbau Kudung, Tasek Gelugor. FOTO DANIAL SAAD
Tukang jahit kerdil, Nurul Izzah Mohd Asri, 26, berketinggian 120 sentimeter (cm) terpaksa mengambil ukuran pelanggan dengan bantuan kerusi ketika menerima tempahan menjahit baju raya di Kampung Petani Merbau Kudung, Tasek Gelugor. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Hanya berketinggian 120 sentimeter (cm) dan mengambil ukuran pelanggan dengan bantuan kerusi, namun seorang tukang jahit kerdil tidak menang tangan menerima tempahan untuk Aidilfitri.

Keadaan itu membuatkan Nurul Izzah Mohd Asri, 26, terpaksa menutup tempahan sejak Januari lalu kerana bimbang gagal menyiapkan pakaian ditempah berikutan hanya menjahit seorang diri.

Menurutnya, dia bersyukur kepercayaan pelanggan terhadap insan seperti dirinya bertambah kerana memilihnya untuk menjahit pakaian yang ingin digayakan di pagi raya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia menerima tempahan lebih 60 pasang baju kurung iaitu meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

"Saya mula menjahit baju sepenuh masa pada tahun lalu selepas tamat pengajian pada 2019. Jadi tempahan saya terima tidak banyak dan hanya dalam kalangan orang kampung sahaja.

"Namun, kepercayaan kepada saya makin lama makin bertambah apatah lagi apabila pemimpin termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudi menggunakan khidmat tukang jahit seperti saya.

"Kisah saya yang disiarkan beberapa media secara tidak langsung membantu dan paling penting mendapat pelanggan sangat memahami keadaan fizikal saya dan percaya kemampuan saya," katanya.

Nurul Izzah berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani, Merbau Kudung di sini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, dia menetapkan harga jahitan bermula RM50 mengikut jenis fesyen dan tidak membebankan pelanggan.

"Harga ini naik sedikit berbanding tahun lalu, tetapi saya terpaksa kerana kenaikan kos harga barangan jahit antaranya zip dan benang serta elektrik yang jika diikutkan rata-rata tukang jahit menetapkan kadar upah lebih tinggi.

"Namun saya tidak boleh begitu kerana memikirkan rata-rata pelanggan terdiri daripada penduduk kampung termasuk anak yatim, ibu tunggal dan warga emas," katanya.

Katanya, dalam keadaan keupayaan terbatas, dia perlu gigih untuk menyiapkan semua tempahan baju raya pelanggannya.

"Dalam satu hari saya boleh jahit dalam dua pasang baju dan ada masa lebih terutama apabila ada pelanggan yang memberi baju contoh maka ia menjadi mudah untuk saya.

"Bagi pelanggan yang datang mengambil ukuran, saya perlu mengambil ukuran mereka dengan naik atas kerusi dan kemudian memotong kain juga memerlukan ruang begitu besar.

"Pada asalnya saya meminati bidang masakan, tetapi percubaan secara 'suka-suka' mempelajari asas jahitan membawa diri menceburi bidang jahitan," katanya yang mula menjahit seawal jam 11 pagi hingga lewat malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 6:30 AM