JAEDAH Ahmad ( kiri) sedang melihat pekerjanya, Tan Geok Hua (depan) dan Hong Su Fan (belakang) menjahit pakaian yang ditempah pelanggan. FOTO Rosman Shamsudin
JAEDAH Ahmad ( kiri) sedang melihat pekerjanya, Tan Geok Hua (depan) dan Hong Su Fan (belakang) menjahit pakaian yang ditempah pelanggan. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: Walaupun Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma lebih tiga bulan lagi, tukang jahit, Jaedah Ahmad, 62, sudah mula tidak menang tangan menerima tempahan baju raya daripada pelanggan.

Jaedah berkata, setakat ini dia sudah pun menerima tempahan lebih 200 pasang baju raya daripada pelanggan sedangkan dia hanya menerima tempahan 300 pasang baju raya sahaja setiap kali menjelang Aidilfitri.

"Baju yang biasa ditempah oleh pelanggan terdiri baju kurung tradisional, baju kurung moden dan juga baju Melayu bagi pelanggan lelaki.

"Setiap hari, kira-kira enam pasang baju boleh disiapkan oleh dua orang pekerja saya yang mahir menjahit apa jua jenis fesyen pakaian mengikut kehendak pelanggan," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Bangunan Arked Niaga di sini, hari ini.

Katanya, upah jahit sepasang baju hanya serendah RM50 sehingga RM120 sahaja menyebabkan dia mendapat pelanggan dari Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah.

Dia yang berpengalaman lebih 30 tahun menjadi tukang jahit berkata, dia dibantu dua lagi pekerja iaitu Tan Geok Hua, 64, dan Hong Su Fan, 50, yang berpengalaman menjahit pakaian lebih 10 tahun.

"Sekarang saya terpaksa bawa balik ke rumah untuk memotong kain kerana di kedai tidak sempat untuk berbuat demikian.

"Di kedai saya terpaksa fokus untuk mengambil sukatan baju dan tempahan daripada pelanggan di samping ada juga pelanggan yang membeli koleksi baju yang sedia ada," katanya.

Dia berkata, hubungan erat dan saling bekerjasama sejak 10 tahun lalu antara dia dengan dua pekerjanya menyebabkan semua tempahan baju dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 1:42 PM