SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menunggu giliran sebelum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi PICKids, semalam. FOTO ARKIB NSTP
SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menunggu giliran sebelum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi PICKids, semalam. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang tidak divaksin dan dijangkiti Covid-19 berisiko menghidap komplikasi serius khususnya Sindrom Keradangan Multisistem Pada Kanak-Kanak (MIS-C) membabitkan pelbagai organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak.

Bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada kesan buruk akibat wabak, sekali gus memutuskan rantaian penularan Covid-19, ibu bapa disaran memastikan anak mereka segera mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Nefrologi Hospital Selayang, Dr S Selva Kumar berkata, kebimbangan pakar pediatrik ketika ini ialah ramai dalam kalangan golongan itu dijangkiti Covid-19 dan terdedah dengan risiko MIS-C.

"Kami (pihak hospital) gerun sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah MIS-C. Misalnya, tahun lalu, seorang pesakit kanak-kanak mengalami MIS-C, keadaannya serius dan membimbangkan yang memerlukan rawatan intensif (alat pernafasan dan dialisis) sehingga pulih," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dr Selva Kumar yang juga Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Selayang berkata, ibu bapa yang mempunyai anak dengan penyakit kronik disaran supaya segera mendaftarkan anak mereka untuk vaksinasi Covid-19.

Senada dengannya, Pakar Perunding Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ 11) Kota Bharu, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata, MIS-C berpotensi menjadi kesan jangkitan Covid-19 berpanjangan pada tubuh badan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, dengan suntikan vaksin Covid-19, ia mampu menghasilkan imuniti dalam tubuh badan kanak-kanak dan memberikan perlindungan daripada kesan wabak itu.

Menurut Dr Nik Khairulddin, ibu bapa sebagai 'pelindung pertama' anak perlu memainkan peranan mereka dan mengambil langkah proaktif bagi melindungi golongan itu daripada terdedah kepada kesan jangkitan virus berbahaya itu.

"Ibu bapa perlu memahami fakta tepat daripada sumber sahih berkaitan vaksin untuk menangkis segala kegusaran berkenaan vaksin Covid-19," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, sejak Jun 2020 hingga Disember lalu, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19 membabitkan mereka berusia bawah setahun dengan 24 kes, 1 hingga 4 tahun (38 kes), 5 hingga 8 tahun (64 kes), 9 hingga 11 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

Sementara itu, pekerja swasta, Sania Mohamad, 41, berkata, anak lelakinya, Wan Mohammad Aisy Aydan, 9, secara sukarela menerima vaksin pada 16 Januari lalu selepas melihat ahli keluarganya berada dalam keadaan baik selepas suntikan itu.

"Selepas divaksin, pada awalnya dia cuma cakap sakit tangan dekat tempat disuntik itu (vaksin) sahaja, tapi pada sebelah malam, dia sudah (boleh) pergi main badminton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 9:44 AM