PETUGAS kesihatan, Fathiah Mohd Zahir 23, membantu, Mohammad Rayyan Rifqi Abdul Hakim 10, mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad
PETUGAS kesihatan, Fathiah Mohd Zahir 23, membantu, Mohammad Rayyan Rifqi Abdul Hakim 10, mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan KKM) menjangkakan kadar pengambilan vaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) hanya akan mencapai 45 peratus sahaja.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berbaki dua minggu lagi sebelum program itu tamat, beliau menggalakkan ibu bapa mengambil peluang bertindak demi kebaikan golongan berkenaan selepas melihat jumlah pengambilan vaksinasi yang masih kurang memuaskan.

"Kita sudah laksanakan pelbagai kaedah termasuk pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di sekolah dan kempen Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) kanak-kanak di bawah Datuk Dr Azmi dan saya lihat mereka menjalankan kerja dengan begitu baik sekali.

"Malangnya majoriti ibu bapa berpendapat serta membuat pilihan untuk tidak membenarkan anak mereka diberikan vaksin jadi saya unjurkan kita mungkin akan capai 45 peratus sahaja daripada golongan kanak-kanak.

"Tetapi saya harap ibu bapa masih lagi ada masa dua minggu lagi akan mengambil peluang untuk mendapatkan vaksin bagi anak mereka," katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, kerajaan masih kekal dengan pendirian untuk tidak melanjutkan tempoh PICKids kerana beberapa faktor munasabah.

"Kita hanya akan simpan bekalan vaksin untuk kanak-kanak terutama belum capai usia lima tahun atau mungkin akan capai usia itu tahun ini.

"Kita juga akan simpan vaksin untuk kanak-kanak positif Covid-19 yang terpaksa menunggu sebulan sebelum mendapat dos pertama mereka.

"Tetapi untuk kanak-kanak lain ini (15 Mei) adalah tarikh akhir dan kita tidak mampu lagi memanjangkan tempoh itu kerana ia berkaitan dengan tarikh luput vaksin, penghantaran daripada pengeluar serta usaha kita untuk memperoleh lebih banyak lagi ubat anti-viral," katanya.

Menurutnya, selepas 15 Mei kanak-kanak diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin menerusi program vaksinasi berbayar bagi mendapatkan vaksin Sinovac.

"Untuk vaksin Pfizer hanya diberikan melalui PICKids dan tidak lagi diberikan selepas 15 Mei untuk mereka yang belum mengambil dos pertama vaksinasi," katanya.

Khairy berkata, sehingga semalam, kadar pemberian dos satu dan dua untuk kanak-kanak masing-masing 42.3 peratus dan 21.4 peratus.

"Kadar vaksinasi kanak-kanak yang masih lagi rendah dengan tarikh tutup 15 Mei semakin hampir amat membimbangkan.

"Sebanyak 245 kes Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada Kanak-Kanak atau Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan sejak Oktober 2021 hingga April lalu.

"Dua hari lalu, kita juga menerima perkhabaran melalui laman media sosial Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengenai seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang mengalami MIS-C selepas dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia. Dia tidak menerima vaksin Covid-19.

"KKM amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Semoga kejadian ini menjadi iktibar dan pendorong kepada ibu bapa lain untuk segera mendapatkan vaksin Covid-19 bagi anak-anak mereka yang layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 7:06 PM