Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunjukkan peningkatan ketara apabila 50,826 orang disahkan positif virus itu bermula awal Januari sehingga pertengahan Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 15,817 kes atau 31.12 peratus kanak-kanak dijangkiti kategori satu diikuti kategori dua (34,857 kes), kategori tiga (120 kes), kategori empat (28 kes) dan kategori lima (empat kes).

"Pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun didapati semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes pandemik dalam negara.

"Peningkatan dilihat lebih ketara dalam Februari 2022 terutama bagi kategori dua hingga kategori lima," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Menurutnya, ia mungkin disebabkan oleh penularan Varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi lalu menyebabkan risiko pendedahan kepada jangkitan Covid-19.

"Kanak-kanak terkesan secara langsung akibat pandemik Covid-19 yang mengganggu kehidupan keluarga serta aspek sosial mereka.

"Aspek persekolahan dan pendidikan juga terkesan dan pandemik yang berlarutan ini memberi kesan yang tidak sihat kepada perkembangan psikologi dan sosial kanak-kanak.

"Meskipun gejala jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun terdapat juga kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Menurutnya, antara gejala yang sering dialami oleh kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 adalah batuk dan selesema berterusan melebihi seminggu, bernafas laju, kurang aktif, kurang selera makan, demam yang berterusan dan muntah atau cirit birit.

"Dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh mengalami sakit dada atau sakit perut, kurang tahap kesedaran, dan juga sawan.

"Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) adalah salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan Covid-19 di mana terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak," katanya

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Menurutnya, bermula Jun 2020 hingga Disember tahun lalu, 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19 dengan bawah usia setahun 25 kes, setahun hingga bawah lima tahun (38 kes), lima tahun hingga bawah sembilan tahun (64 kes), sembilan hingga bawah 12 tahun (36 kes) manakala lebih 12 tahun (11 kes).

"Sehingga kini, tujuh kematian kanak-kanak disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19 dilaporkan.

"Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid iaitu sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan.

"Data terhad yang diperolehi setakat ini menunjukkan risiko ini adalah lebih rendah berbanding orang dewasa namun buat masa ini tidak banyak yang diketahui mengenai kesan jangka masa panjang Long-Covid kepada kanak-kanak.

"Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma, dan obesiti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 11:10 AM