Aizat Sharif

Kangar: Cubaan bot penyeludup merempuh bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Perlis, di sini untuk meloloskan diri ke perairan Thailand gagal semalam sekali gus menyaksikan 3.2 tan daun ketum bernilai RM576,000 dirampas.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, kejadian jam 6.50 pagi itu berlaku di kedudukan 5.8 batu nautika barat pantai Kurung Tengar ketika operasi khas APMM Zon Maritim Kuala Perlis mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menuju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis.

"Hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan selama dua bulan, kita berjaya mengesan bot suspek yang berukuran 12 meter dan lebarnya pula adalah sekitar 2.5 meter serta menggunakan enjin sangkut dengan 600 kuasa kuda.

"Ketika kejadian, bot itu bergerak dalam keadaan gelap menyebabkan kita segera mengatur gerak bot ronda pasukan operasi ke lokasi.

"Menyedari kehadiran anggota APMM di lokasi, dua suspek dalam bot itu bertindak merempuh bot APMM dalam usaha meloloskan diri," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, impak rempuhan bagaimanapun menyebabkan bot suspek mengalami kebocoran pada bahagian tepi bot dan tidak mampu untuk bergerak dengan laju.

BOT suspek mengalami kebocoran pada bahagian tepi bot dan tidak mampu untuk bergerak dengan laju. FOTO Aizat Sharif
BOT suspek mengalami kebocoran pada bahagian tepi bot dan tidak mampu untuk bergerak dengan laju. FOTO Aizat Sharif

"Anggota kita kemudian menaiki bot itu dan menahan suspek yang berusia 37 dan 48 tahun.

"Pemeriksaan kita kemudian menemui 300 bungkusan plastik berwarna hitam dan 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang 3.2 tan bernilai RM576,000.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah beberapa kali menyeludup keluar daun ketum ke negara Thailand menggunakan laluan laut di Kuala Perlis," katanya.

Beliau berkata, kesemua rampasan termasuk kedua-dua suspek kini dalam tahanan APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot fiber serta tiga enjin sangkut berkenaan dianggarkan sekitar RM956,000.

Kes disiasat mengikut Sekyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain hal berkaitan bahan itu.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Ini adalah rampasan daun ketum kedua bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis tahun ini selepas rampasan pertama di perairan Sungai Padang, Kuala Perlis pada 15 Januari lalu dengan jumlah seberat 2.3 tan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 6:22 PM