APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas pil kuda dan daun ketum yang cuba diseludup dalam dua kejadian berasingan semalam di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM ZON MARITIM KUALA PERLIS
APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas pil kuda dan daun ketum yang cuba diseludup dalam dua kejadian berasingan semalam di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM ZON MARITIM KUALA PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sejumlah 587 pil kuda dan 500 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM104,675 di lokasi berasingan di sekitar perairan Kuala Perlis, di sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, rampasan pertama dibuat kira-kira 1.45 pagi di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Perlis.

"Kita mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dikemudikan lelaki disyaki warga Thailand sedang memasuki perairan negara lalu bot ronda APMM bertindak memintasnya.

"Bagaimanapun, bot itu memecut laju ke hutan paya bakau berhampiran sebelum suspek terjun ke laut dengan meninggalkan bot dan berenang untuk melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan itu menemukan tiga peket plastik kecil berwarna biru disyaki pil kuda yang disembunyikan di dalam tin berwarna merah di hadapan bot.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk pil kuda, bot kayu berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan RM24,675," katanya.

Menurutnya, pihaknya kemudian merampas 50 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum kira-kira 5.30 pagi di kedudukan 0.2 batu nautika daripada barat pantai Sungai Baru, di sini.

Katanya, bungkusan daun ketum itu seberat kira-kira 500 kilogram dianggarkan bernilai RM90,000 mengikut harga semasa di Thailand.

"Semua rampasan dibawa ke Jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:28 PM