Aizat Sharif


Kangar: Penggunaan tonto dan dron sebagai peninjau pergerakan pihak berkuasa membuktikan sindiket penyeludupan daun ketum di Kuala Perlis semakin berani menyeludup bahan larangan itu dalam kuantiti yang besar ke negara jiran.

Turut tidak dinafikan pembabitan segelintir nelayan yang menerima upah lebih RM500 untuk mengemudi bot meredah kegelapan malam di sekitar perairan Kuala Perlis juga membuatkan sindiket itu beroperasi tanpa mengira waktu.

Namun, kecekapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dua tan daun ketum ke Thailand di perairan Kuala Perlis di sini, semalam.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, tindakan dibuat sekitar jam 12.30 tengah malam di kedudukan 1.1 batu nautika barat daya Pulau Batu Layang, Kuala Perlis.

"Berikutan maklumat risikan dan intipan berterusan yang dijalankan oleh pasukan operasi khas APMM Zon Maritim Kuala Perlis, kita mengesan pergerakan sebuah bot sedang dikemudi keluar dari Kuala Sanglang menuju ke perairan sempadan Malaysia-Thailand dalam keadaan gelap dan mencurigakan.

"Anggota APMM yang bertugas kemudian mengatur gerak aset laut berserta pasukan operasi ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot berkenaan.

"Namun begitu, kehadiran bot peronda dan operasi APMM disedari oleh bot penyeludup menyebabkan dua lelaki yang berada dalam bot berkenaan bertindak mencampakkan kesemua bungkusan plastik hitam ke laut dan menukar haluan bagi melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis di sini hari ini.

Katanya, tindakan membuang semua bungkusan plastik hitam itu adalah sebagai cubaan untuk melengah-lengahkan anggota APMM daripada mengejar mereka dan mengelakkan ditangkap.

"Hasil pemeriksaan di lokasi bungkusan plastik hitam yang dibuang itu menemukan 200 bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat sekitar dua tan bernilai RM360,000.

"Kita percaya modus operandi penyeludupan daun ketum ke negara jiran yang dilakukan suspek adalah sama seperti tangkapan sebelum ini iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke perairan sempadan Malaysia-Thailand yang hanya berjarak sekitar 10 minit perjalanan dari tempat kejadian.

"Bungkusan daun ketum ini kemudian akan dipindahkan ke bot nelayan Thailand untuk dibawa ke daratan negara berkenaan dan aktiviti ini dilihat aktif disebabkan harga pasaran semasa ketum di Thailand adalah dianggarkan bernilai RM180 sekilogram berbanding hanya RM70 sahaja di negara ini ," katanya.

Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan 200 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum yang dibuang ke laut oleh anggota sindiket penyeludupan ketika APMM Zon Maritim Kuala Perlis cuba mengejar bot suspek. FOTO AIZAT SHARIF
Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan 200 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum yang dibuang ke laut oleh anggota sindiket penyeludupan ketika APMM Zon Maritim Kuala Perlis cuba mengejar bot suspek. FOTO AIZAT SHARIF

Beliau berkata, pihaknya percaya tindakan suspek membuang muatan bungkusan daun ketum itu ke laut dilakukan selepas mereka menerima maklumat daripada tonto di Kuala Perlis yang menjadi tali barut memantau pergerakan keluar masuk bot peronda APMM.

"Selain itu juga, sindiket juga dipercayai menggunakan dron dan ada laporan serta risikan APMM yang ternampak dron sering diterbangkan pada waktu malam sehingga awal pagi. Kita syak ini adalah perbuatan penyeludup.

"Ini adalah rampasan kedua terbesar membabitkan daun ketum bagi APMM keseluruhan terutama APMM Zon Maritim Kuala Perlis. Rampasan pertama berlaku di perairan Kuala Kedah pada 6 Ogos lalu dengan jumlah berat iaitu dua tan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain berkaitan bahan berkenaan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 2:38 PM