Sebanyak 200 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM36,000 yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis selepas menahan sebuah bot di pesisiran pantai Kuala Perlis, Kangar. FOTO IHSAN APMM KUALA PERLIS
Sebanyak 200 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM36,000 yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis selepas menahan sebuah bot di pesisiran pantai Kuala Perlis, Kangar. FOTO IHSAN APMM KUALA PERLIS
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Sebanyak 200 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM36,000 yang cuba diseludup ke Thailand dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis selepas menahan sebuah bot di pesisiran pantai Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kejadian berlaku pada 12.45 pagi ketika bot peronda APMM diaturgerak untuk melakukan pengesanan dan serbuan menerusi Op Aman di sekitar perairan negeri Perlis.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat terdapat sindiket tempatan melakukan penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran berlegar di sekitar perairan Kuala Perlis.

Katanya, ketika rondaan, anggota peronda mengesan empat individu yang baru selesai memunggah keluar muatan guni putih disyaki mengandungi daun ketum dari sebuah kereta Proton Iswara ke dalam bot terbiar di pesisiran pantai Kuala Perlis.

"Suspek dipercayai menunggu kedatangan bot yang digunakan untuk tujuan menyeludup ke negara jiran melalui laluan laut.

"Sebaik menyedari kehadiran peronda APMM, suspek bertindak melarikan diri meninggalkan muatan dalam bot berkenaan" katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas muatan lapan guni putih berkenaan menemui daun ketum yang dibungkus dalam plastik kecil dengan anggaran berat sebanyak 200 kg bernilai RM36,000.

"Kami percaya ia cuba diseludup keluar ke negara jiran menggunakan laluan laut dengan modus operandi sindiket adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah yang mana muatan daun ketum ini kemudian dipindah muat ke dalam bot nelayan Thailand di sekitar perairan sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 6:38 PM