PENGERUSI BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad. FOTO arkib NSTP
PENGERUSI BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad. FOTO arkib NSTP
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) yakin mampu memperoleh kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menyatakan hasrat bertanding secara solo.

Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, BN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak memerlukan kerjasama dengan mana-mana parti yang berada di luar BN.

"Kita akan cadangkan kepada BN Pusat supaya BN Johor bertanding sendirian dalam PRN, kita yakin boleh menang tetapi apa pun keputusan ini terpulang kepada pucuk pimpinan," katanya pada sidang media selepas Taklimat Pilihan raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam berkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Berkaitan keputusan pembubaran DUN Johor yang dikatakan tidak mendapat persetujuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta didakwa hanya keputusan Umno sendirian, Hasni berkata, pihaknya tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada parti lain.

Beliau berkata, ini kerana PRN diasaskan kepada Bahagian Kedua dan Ketiga Fasal 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang membenarkan pihaknya membubarkan DUN sebelum tamat tempoh lima tahun tanpa menerima persetujuan parti lain.

"Itu yang pertama, kedua pembubaran DUN hanya boleh dibuat dengan perkenan Sultan Johor dan kita sudah patuhi kedua-dua fasal dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri, oleh itu perkara ini tidak berbangkit.

"Oleh itu, mesyuarat majlis kerajaan (MMK) negeri yang diadakan semalam hanyalah untuk memaklumkan berkaitan pembubaran DUN dan bukannya untuk mendapat persetujuan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 6:23 PM