HASNI Mohammad. FOTO Arkib NSTP
HASNI Mohammad. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dijangka menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar minggu depan bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Sumber UMNO Johor berkata, perkenan Sultan Johor itu bagi membolehkan DUN Johor dibubarkan pada hujung minggu hadapan.

"Persiapan untuk membubarkan DUN Johor bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang giat dijalankan dengan Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dijangka menghadap Sultan Ibrahim, minggu depan.

"Selepas Sultan Johor memberikan perkenan baginda, surat rasmi akan segera dihantar kepada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, bagi membolehkan kenyataan rasmi pembubaran DUN dikeluarkan.

"Dijangkakan DUN Johor akan dibubarkan penghujung minggu hadapan," katanya ketika dihubungi.

Pagi tadi media melaporkan, Hasni, akan mengadakan sidang media khas esok, dengan khabar angin mengaitkan ia akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

Sumber UMNO Johor dilaporkan mengesahkan perancangan sidang media itu selepas Badan Perhubungan UMNO Johor mengadakan mesyuarat khas esok.

Ibu pejabat UMNO juga dilaporkan sudah mula bermesyuarat untuk membentuk gerak kerja jentera PRN Johor termasuk menentukan DUN angkat mengikut negeri dan bahagian.

Sementara itu, sumber UMNO turut mengesahkan PRN dijangka diadakan sama ada pada pertengahan atau menjelang hujung Februari ini.

"PRN Johor dijangka diadakan pertengahan Februari selepas Tahun Baru Cina. Ia bagi mengelak PRN Johor bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Perhimpunan Agung UMNO, yang akan berlangsung pada Mac nanti," katanya.

Dalam pada itu, sumber UMNO itu juga menyatakan akar umbi terutama jentera parti itu berada dalam 'mode' bersedia dan hanya menunggu tarikh PRN diumumkan.

"Persediaan memang sudah dibuat sejak tahun lalu lagi dan kini kami berada pada 'mode' bersedia menanti tarikh PRN diumumkan.

"PRN Johor memang tidak dapat dielak bagi mewujudkan kerajaan negeri yang stabil sekali gus membolehkan lebih banyak pembangunan dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 4:06 PM