Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor Suhaizan Kaiat secara rasmi mengumumkan warta kerajaan berhubung pembubaran Dun Johor, berkuat kuasa semalam.

Suhaizan berkata, watikah berkenaan diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi mengambil tindakan susulan pembubaran Dun Johor.

"Warta ini memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mempunyai peruntukkan untuk membubarkan Dun Johor yang ke-14.

"Ia mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895.

"Satu pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dun, bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan watikah pembubaran Dun Johor di pejabatnya di Bangunan Dun Johor, hari ini.

Terdahulu, Suhaizan menyerahkan Warta Pemasyhuran Pembubaran Dun Johor kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor Nor Nekman Jaimon di Pejabat Speaker.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran Dun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dilaporkan menghadap Sultan Johor bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN di Istana Bukit Serene di sini, pada 5 petang, semalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kedudukannya sebagai Speaker, Suhaizan berkata, beliau masih menjalankan tugas berkenaan sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk dan pelantikan Speaker Dun dibuat.

"Saya masih lagi Speaker Dun Johor sehinggalah kerajaan negeri baharu dibentuk dan Speakar baharu dilantik," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor akan merujuk ibu pejabatnya sebelum membuat persediaan termasuk mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Johor yang ke-15.

Nor Nekman berkata, ia bagi membolehkan ibu pejabat SPR memaklumkan butiran persediaan yang perlu dilakukan negeri.

"Setakat ini kita masih belum ada tarikh bila mesyuarat urusan PRN Johor ke-15 akan diadakan.

"SPR Johor akan merujuk ibu pejabat dahulu termasuk memaklumkan penerimaan Warta Pemasyhuran Pembubaran Dun Johor yang diterima daripada Speaker Dun Johor Suhaizan Kaiat.

"Mesyuarat membincangkan urusan PRN Johor yang ke-15, terpulang kepada ibu pejabat bagi menentukan tarikhnya. Pengumuman akan dibuat nanti," katanya.

Suhaizan Kaiat  menandatangani Warta Pemasyuran Pembubaran Dun Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Suhaizan Kaiat menandatangani Warta Pemasyuran Pembubaran Dun Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 5:32 PM