GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan sidang media bagi mengumumkan tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini, tengah hari esok.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh akan mengumumkan tarikh penamaan calon, mengundi awal dan hari mengundi itu pada jam 12.30 tengah hari sejurus selesai Mesyuarat Khas Berkaitan PRN Johor ke-15.

Pada 24 Januari lalu, SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas PRN Johor pada 9 Februari, antara lain bagi membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani PRN berkenaan.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 3:28 PM