GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
RoselanAb Malek


Jerantut: Sejak harga buah kelapa sawit meningkat, peneroka Felda berdepan masalah lain sejak enam bulan lalu iaitu kegiatan mencuri buah sawit di ladang semakin berleluasa.

Kegiatan itu berlaku apabila harga komuniti berkenaan melebihi paras tertinggi iaitu RM1,000 setan metrik.

Ia semakin menjadi-jadi khasnya di tanah rancangan Felda Wilayah Jengka dan Jerantut.

HAFIZAN Umar. FOTO Roselan Ab Malek
HAFIZAN Umar. FOTO Roselan Ab Malek

Ketua Peneroka Felda Sungai Retang Mohd Hafizan Umar, 44, berkata, kecurian buah tandan segar (BTS) bagaimanapun bukan masalah baharu kerana ia berlaku sejak lama dahulu.

"Ketika harga rendah, pencuri kurang berminat. Bagaimanapun, minat mereka berubah akhir-akhir ini berikutan harganya melebihi RM1,000 setan.

"Pencuri BTS ini menggunakan lori dan motosikal setiap kali mencuri, tidak kira siang atau malam," katanya.

Mohd Hafizan berkata, bagi menangani kecurian berterusan, warga Felda perlu turun lebih kerap ke ladang masing-masing.

Beliau berkata, warga Felda bersyukur dengan harga BTS yang direkodkan tertinggi dalam sejarah tetapi mereka tidak dapat menikmatinya secara maksimum.

Katanya, ini kerana, masalah yang membelenggu peneroka ketika ini membabitkan penuai sawit serta kenaikan harga baja dan racun.

RAZAK. FOTO Roselan Ab Malek
RAZAK. FOTO Roselan Ab Malek

Ketua Peneroka Felda Jengka 24 Razak Daud, 62, berkata, pencuri sawit mungkin 'terliur' melihat buah yang masak di pokok yang tidak dituai pemiliknya.

Beliau berkata, isu ketiadaan buruh ladang sudah berlarutan lebih dua tahun menyebabkan ada peneroka tidak dapat menuai sawit dua pusingan sebulan.

"Kerajaan dimohon segera mengambil buruh asing untuk bekerja di ladang milik peneroka yang sudah lanjut usia," katanya.

AWANG. FOTO Roselan Ab Malek
AWANG. FOTO Roselan Ab Malek

Peneroka Felda Sungai Retang, Mohd Awang Hassan, 65, berkata, bagi mengelakkan buah kelapa sawitnya dicuri, hampir setiap petang dia meronda kawasan ladangnya.

"Ia bagi memastikan buah kelapa sawit tidak dicuri seterusnya mendatangkan kerugian buat saya," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 3:59 PM