RoselanAb Malek


Jerantut: "Pusaran angin menerbangkan daun, kayu serta pelbagai barangan ke udara...atap rumah jiran mula tercabut satu persatu.

"Saya lihat sebatang pokok durian berhampiran rumah seperti hendak tercabut," kata penduduk Azli Sulaiman, 57, menceritakan kejadian ribut di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, kira-kira 5 petang semalam.

Ketika kejadian, Azli berseorangan di rumah kerana isterinya menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Menurut Azli, ribut yang melanda kampung itu berlanjutan kira-kira setengah jam diikuti hujan lebat.

"berikutan kejadian itu, atap ruang tamu rumah saya tercabut," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosli Ahmad, 65, berkata, ketika kejadian, dia, isteri serta tiga anak sedang minum petang di dapur sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat apabila atap bahagian tengah rumah bergegar.

"Tiba-tiba angin kencang dan menerbangkan bumbung ruang tamu rumah," katanya.

ENAM penduduk Felda Kota Gelanggi Dua menghadapi saat getir  apabila rumah mereka dibadai ribut pada kira kira jam lima petang semalam. FOTO Roselan Ab Malek
ENAM penduduk Felda Kota Gelanggi Dua menghadapi saat getir apabila rumah mereka dibadai ribut pada kira kira jam lima petang semalam. FOTO Roselan Ab Malek

Nor Faizal Ramli, 37, turut mengalami nasib sama apabila kediamannya rosak akibat kejadian ribut itu.

"Ketika kejadian saya tidak berada di rumah kerana beraya di rumah rakan, manakala isteri dan anak di rumah mentua.

"Saya dihubungi jiran memberitahu rumah saya rosak dilanda ribut," katanya.

Kejadian ribut di blok tujuh di Felda Kota Gelanggi 2 itu menyebabkan rumah enam kediaman penduduk terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 10:31 AM