LAMPU solar dipasang di sekitar Masjid Jengka 17. FOTO Roselan Ab Malek
LAMPU solar dipasang di sekitar Masjid Jengka 17. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Maran: Sebanyak 35 masjid di Felda Wilayah Jengka akan menggunakan sistem tenaga solar secara berperingkat, menggantikan bahan bakar fosil bagi mengurangkan kos bayaran elektrik.

Penyelaras Kemajuan Hal Ehwal Islam Felda Wilayah Jengka, Mohamed Faizal Marjani berkata, setiap masjid perlu memanfaatkan teknologi solar kerana lebih selamat, bersih dan menjimatkan.

Katanya, sudah sampai masanya setiap masjid memanfaatkan dana beratus ribu ringgit hasil derma orang ramai dengan menyediakan sistem elektrik solar sebagai tenaga alternatif.

"Setiap derma terkumpul orang ramai perlu dikembalikan kepada mereka dengan pelbagai cara termasuk penyediaan elektrik murah bercahaya sepanjang malam tanpa masalah bil tinggi.

Beliau berkata, Felda Wilayah Jengka dan Gabungan Masjid Wilayah Jengka akan menjadi perantara bagi memastikan projek teknologi solar dapat dilaksanakan dengan lancar.

LAMPU solar dipasang di sekitar  kawasan Masjid Jengka 17. FOTO Roselan Ab Malek
LAMPU solar dipasang di sekitar kawasan Masjid Jengka 17. FOTO Roselan Ab Malek

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, inovasi penggunaan solar di masjid selari dengan matlamat menjadikan semua 35 masjid Jengka mengaplikasikan sistem solar untuk tujuan penjimatan tenaga elektrik.

"Sekiranya bil eletrik setahun sebuahmasjid adalah RM24,000 dan jika kita dapat jimat 50 peratus bil elektrik itu dengan penggunaan teknologi solar, maka RM12,000 setahun dapat dijimatkan oleh masjid berkenaan.

"Bayangkan dengan RM12,000 itu, berapa banyak keluarga asnaf miskin dapat dibantudan berapa ramai anak asnaf ditanggung yuran tuisyennya" katanya.

Imam 2 Masjid Ar Rahmaniah, Felda Jengka 17, Zainuri Yahaya berkata, 20 tiang tenaga solar dipasang di sekeliling masjid Felda Jengka 17 dengan kos RM30,000 sekali gus menceriakan suasana malam.

Katanya, pengurusan masjid juga bercadang untuk memasang panel solar di atas bumbung masjid dengan kos RM80,000 sebagai usaha mengurangkan bayaran tinggi tenaga elektrik.

Sementara itu Pengurus Projek Pantai Timur Skynergy Global ( D) Sdn Berhad yang juga generasi baharu Felda Jengka 4, Mohd Khonawi Mad Kasim berkata, jawatankuasa masjid hanya mengeluarkan modal pada peringkat pemasangan peralatan seperti bateri, papan panel dan lain-lain dan selepas itu tiada lagi kos bil bulanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 11:35 AM