Gambar fail, Dataran Merdeka. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Dataran Merdeka. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka di bawah peruntukkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, ketika ini seluruh Kuala Lumpur masih berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa empat berkuatkuasa pada 18 Oktober lalu.

"Bilangan kes baharu Covid-19 di Kuala Lumpur adalah 226 kes dengan nilai kebolehjangkitan pada kada 1.08, setakat semalam.

"Justeru, polis mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN fasa empat supaya kita dapat mengelakkan diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, polis juga menerima maklumat berkenaan pihak tertentu yang sentiasa mengambil peluang untuk mengadakan perhimpunan atau perarakan yang sebenarnya jelas melanggar SOP PPN fasa empat.

"Setakat ini, polis tidak menerima sebarang permohonan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka.

"Kita berharap semua masyarakat faham mengenai peri pentingnya mematuhi SOP PPN fasa empat dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan elak berada dalam kelompok yang ramai supaya bersama dapat mengurangkan jangkitan Covid-19," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2159999 serta mana-mana balai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 9:41 PM