GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat dikompaun RM2,000 setiap seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terbabit dalam perhimpunan di padang Dataran Merdeka pada 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua mereka dikompaun selepas keterangan mereka diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

"Pasukan Pematuhan IPD Dang Wangi mengesan sekumpulan individu berhimpun di Dataran Merdeka sempena program memorial memperingati mereka yang gugur akibat pandemik wabak Covid-19 dan mereka dilihat berhimpun sambil membakar lilin serta memegang kain rentang putih bertulis 'Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi'.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit PPN (No 2) 2021," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Noor Dellhan menasihatkan orang awam agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memerangi wabak Covid-19 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 11:07 AM