Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sembilan Ahli Parlimen pembangkang hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka, di sini, 2 Ogos lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Mereka tiba secara berasingan di IPD Dang Wangi antara jam 10.20 pagi hingga 11.35 pagi tadi.

Terdahulu, media melaporkan pihak polis sudah mengambil keterangan 20 Ahli Parlimen setakat ini berhubung isu perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang ke Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dipetik berkata, tiga lagi Ahli Parlimen selesai diambil keterangan Sabtu lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 11:43 AM